• Laporan polis ke atas The Economist

    Published: Tuesday, 20 March 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) hari ini membuat laporan polis berhubung artikel majalah The Economist yang mendakwa kononnya wujud unsur manipulasi dalam sistem pilihan raya di negara ini.

    Laporan berkenaan dibuat Pengerusi GAUM, Datuk Zulkarnain Mahdar di Balai Polis Sri Petaling di sini.

    Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Zulkarnain mendakwa artikel berkenaan mempunyai niat jahat serta tidak mempunyai bukti kukuh membabitkan tuduhan berkenaan.

    "Sistem pilihan raya di negara ini sangat sistematik, sebagai contoh penggunaan dakwat kekal dicalit di jari pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi memastikan tidak wujud ruang penipuan.

    "Sistem sama juga akan digunakan pada PRU-14, bertujuan mengelak kemungkinan ada percubaan oleh mana-mana pengundi tidak bertanggungjawab untuk mengundi lebih daripada sekali di tempat mengundi berlainan.

    "Di situ kita sudah nampak tuduhan kononnya kerajaan manipulasi sistem pilihan raya sebenarnya adalah taktik kotor pihak tertentu.

    "Kami juga menghantar surat kepada pengarang majalah berkenaan yang berpusat di United Kingdom pada 11 Mac lalu, bagi mendesak penjelasan terhadap artikel berkenaan," katanya.

    Pada 10 Mac lalu, artikel disiarkan majalah berkenaan bertajuk 'How Malaysia's Next Election Will Be Rigged' mendakwa ada unsur ketidakadilan dalam sistem pilihan raya di Malaysia.

    Minggu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya berlaku manipulasi terhadap sistem pilihan raya dan persempadanan semula untuk memastikan kemenangan parti tertentu pada PRU-14.

    Sementara itu, Zulkarnain berkata pihaknya juga membuat laporan polis berhubung dakwaan pembangkang bekerjasama dengan media asing untuk menjatuhkan kredibiliti kerajaan.

    "Saya sudah ada bukti, semua dokumen berkaitan sudah diserahkan kepada polis.

    "Apa yang saya boleh kongsi, kita tidak sentuh proses penerimaan dana dari luar negara, tiada kesalahan dalam perkara itu.

    "Apa yang kita pertikaikan adalah taktik kotor bagi mendapatkan khidmat pihak luar negara untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia," katanya.

    Kelmarin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dilaporkan berkata beliau tidak menolak kemungkinan wujud usaha menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dengan bantuan pihak luar. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Laporan polis ke atas The Economist "