• 'Kudung Dah Jari Aku'

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 13 March 2018
    A- A+

    Dua jari tangan seorang lelaki berusia 40 tahun kudung selepas ditetak dengan parang oleh tiga lelaki dalam kejadian di Flat Terubok, Seberang Jaya, Sabtu lalu.

    Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa yang juga seorang pekerja kilang kehilangan jari kelingking dan jari manis tangan kanannya selepas ditetak sekumpulan lelaki di kawasan tempat letak kereta flat itu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil siasatan polis, tiga suspek berkenaan yang dikenali mangsa datang ke kawasan itu dengan menaiki kereta.

    Beliau berkata, salah seorang daripada suspek membawa parang sepanjang 24 sentimeter (cm) sebelum menetak mangsa beberapa kali.

    "Mangsa turut dibelasah tiga suspek berkenaan, malah salah seorang daripada mereka menetak mangsa menggunakan parang.

    "Dalam pergelutan itu, mangsa cuba menepis tetakan parang menyebabkan pergelangan tangan kanannya cedera parah sehingga putus urat," katanya.

    Nik Ros Azhan berkata, motif kejadian masih disiasat dan susulan laporan polis dibuat abang mangsa, polis berjaya mengesan dan menangkap suspek selang beberapa jam selepas kejadian.

    Beliau berkata, mangsa mengenali salah seorang daripada suspek yang dipercayai pernah bersekolah bersamanya.

    Katanya, semua suspek berusia 18 hingga 37 tahun itu kemudian diberkas di sebuah rumah di Taman Villa Mutiara.

    "Salah seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah manakala mangsa mempunyai enam rekod jenayah lampau.

    “Polis masih mengumpul keterangan daripada saksi yang melihat kejadian dan semua suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Kudung Dah Jari Aku' "