• Kuching Dibangunkan Dengan Tarikan Baharu Pelancong

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 5 March 2018
    A- A+

    KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri akan membangunkan bandar raya Kuching dengan beberapa tarikan pelancong baharu dalam tempoh lima tahun ini.

    Beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri akan membangunkan bandar raya ini tanpa menjejaskan khazanah sedia ada.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurutnya, bandaraya Kuching merupakan sebuah tempat yang unik dan kaya dengan khazanahnya.

    “Kita akan membina air pancuran berirama seperti di Singapura di hadapan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan menjadi satu lagi tarikan kepada pelancong di bandar raya ini.

    “Air pancuran berirama ini akan dipertunjukkan pada masa tertentu di mana airnya akan dipancurkan dari Sungai Sarawak mengikut tempo irama berserta pancaran lampu.

    “Selain itu kita juga akan mewujudkan sebuah restoran berkonsepkan Inggeris iaitu ‘English Tea House’ di Kubu Margherita dekat sini,” katanya.

    Abang Johari turut berkata, pembangunan semula bandar raya Kuching sebagai tarikan pelancong tidak hanya tertumpu di sepanjang Tebingan Kuching.

    Malah katanya, kerajaan juga akan mengubah Taman Budaya, Taman Muzium dan sebahagian daripada Dewan Suarah Kuching sebagai Taman Perpaduan yang mencerminkan perpaduan masyarakat di Kuching.

    “Ini adalah perancangan kita untuk mentransformasi bandar raya Kuching yang akan dinikmati oleh semua kita dalam tempoh lima tahun ini.

    “Dari segi kewangan dan peruntukan kita sudah ada dan hanya menunggu untuk dilaksanakan sahaja,” katanya sambil menambah kata, transformasi pembangunan ini juga akan diperluaskan sehingga ke kawasan Padungan di sini. – Sarawakiana
  • No Comment to " Kuching Dibangunkan Dengan Tarikan Baharu Pelancong "