• Kotor... Dua Tikus 'Seronok Main' Di Dapur Kedai Sushi

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Thursday, 1 March 2018
    A- A+


    KOTOR... Seorang pelanggan tetap sebuah rangkaian restoran sushi terkenal Jepun terpaksa membatalkan pesanannya dan meninggalkan restoran tersebut selepas melihat dua ekor tikus sedang ‘seronok bermain’ di kawasan dapur berdekatan tempat hidangan berkenaan disediakan.

    Dalam kejadian di restoran Sushi Den, cawangan di Siam Paragon minggu ini, pelanggan berkenaan Narongkrit Suwancharus berkata, dia sedang melihat telefon pintarnya sebelum ternampak haiwan perosak itu di kawasan tukang masak menyediakan sushi.

    Terkejut dengan insiden tersebut, dia segera merakam kelibat dua ekor tikus itu dan menyiarkan rakaman di laman Facebook.

    “Saya memesan dan sedang menunggu makanan saya. Pada satu ketika, saya melihat dari telefon bimbit saya dan terpandang tikus! Bagaimana mereka boleh berada di sana (kawasan dapur),” katanya kepada Morning News, seperti dilapor Coconuts Bangkok semalam.

    Berdasarkan klip video, seekor daripada haiwan itu kelihatan duduk di dalam sebuah mangkuk dan memakan makanan di dalamnya.

    Berasa jijik dengan kejadian tersebut, Narongkrit segera membatalkan pesanannya sebelum meninggalkan restoran tersebut.

    Susulan rakaman tersebut menjadi tular di laman sosial, Sushi Den tampil memohon maaf dan mengumumkan restoran mereka ditutup sementara waktu bagi tujuan “pembersihan besar-besaran”.

    “Berikutan penularan video, Sushi Den telah dimaklumkan mengenai masalah ini dan dengan ikhlas memohon maaf atas kejadian tersebut. Kami akan mencari penyelesaian secepat mungkin,” demikian menurut kenyataan tersebut, malam tadi.

    Bagaimanapun, pengguna Facebook Thailand lain mendakwa haiwan perosak itu bukan sahaja hidup bebas di Sushi Den, malah di restoran lain di Siam Paragon dan salah sebuah pusat membeli-belah paling mewah di Thailand, juga berdepan masalah yang sama.

    “Ia bukan hanya di Sushi Den. Masalah haiwan perosak berlaku di seluruh pusat beli-belah... tikus dan lipas. Saya pernah lihat kesan lipas di dalam sayur kobis saya di restoran lain yang terletak di tingkat atas,” dakwa pengguna Facebook tersebut.

    Seorang lagi berkata,” Ia seperti loteri. Tikus-tikus berkeliaran di siling (pusat beli-belah) dan haiwan itu turun ke bawah. Semuanya bergantung kepada di mana mereka pergi dan siapa yang melihat mereka. Restoran ini hanya bernasib baik.” - MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Kotor... Dua Tikus 'Seronok Main' Di Dapur Kedai Sushi "