• Konvoi KK1M mulakan siri jelajah di Sarawak hari ini

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 29 March 2018
    A- A+


    KUCHING: Konvoi Program Kembara Kebajikan 1Malaysia Tahun 2018 (KK1M) yang tiba di sini semalam, memulakan siri jelajah selama tiga di Sarawak bermula hari ini.

    Majlis pelancaran KK1M peringkat Sarawak itu disempurnakan oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah di Wisma Kebajikan di sini hari ini.

    Sebaik sahaja dilepaskan,peserta konvoi terus memulakan sesi jelajah dengan berkunjung ke empat rumah klien untuk menghulurkan sumbangan dan bantuan di bahagian ini.

    Aktiviti penyampaian bakul makanan, tabung bantuan segera dan penyerahan surat kelulusan bantuan menerusi program itu telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Abang Shamsuddin Abang Seruji.

    Antara penerima ialah dua ibu tunggal iaitu Siti Nor Aishah Bakar, 44, dan Zawawi Abdul Hamid,65, di Kampung Semariang Batu di sini.

    Seterusnya konvoi bergerak untuk mengadakan gotong-royong mengecat rumah orang kurang upaya (OKU), Mohammad Nasir Yusop, 34, di Kampung Semariang Batu dan Saripah Sapiah, 71, di Kampung Semariang Jaya.

    Pada sebelah petang pula, konvoi bergerak ke Sadong Jaya dan seterusnya ke Sebuyau dan Pusa di Betong untuk program sama.

    Program itu akan berakhir di Pusa pada Sabtu ini dan majlis penutupan akan dilakukan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. - UTUSAN ONLINE



  • No Comment to " Konvoi KK1M mulakan siri jelajah di Sarawak hari ini "