• Kononnya Jumpa Bayi Tapi 'Anak' Sendiri

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 6 March 2018
    A- A+

    Lelaki ditahan selepas didapati membuat laporan palsu kononnya menemui bayi lelaki ditinggalkan di taman reaksi di Bandar Tun Razak di sini, semalam.

    Lelaki berusia 60 tahun itu ke Balai Polis Serdang bersama bayi berkenaan untuk membuat laporan dan mendakwa menemui bayi lelaki masih bertali pusat dalam kotak ditinggalkan di atas but keretanya selepas dia selesai berjoging 5.30 pagi.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, ketika diambil keterangan, anggota polis berasa curiga dengan maklumat yang diberikan dan hasil soal siasat, lelaki itu akhirnya mengaku bayi berkenaan adalah hasil hubungan sulit dengan teman wanitanya.

    "Siasatan lanjut mendapati bayi berkenaan baru dilahirkan oleh teman wanitanya yang berusia 32 tahun di kediamannya di Cheras dengan menggunakan khidmat bidan kampung.

    "Suspek kemudian terus membawa bayi terbabit ke balai polis dengan niat membuat laporan palsu, bagaimanapun banyak maklumat yang diberikannya itu meragukan," katanya ketika dihubungi, pagi tadi.

    Katanya, suspek sudah berkeluarga dan mempunyai enam anak serta sudah menjalin hubungan dengan teman wanitanya sejak dua tahun lalu.

    Susulan itu, lelaki berkenaan serta teman wanita ditahan dan direman tiga hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu dengan niat membuang bayi.

    Bayi berkenaan pula dihantar ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan, manakala ibu bayi terbabit dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan susulan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Kononnya Jumpa Bayi Tapi 'Anak' Sendiri "