• Komitmen Malaysia Laksana Syariat Islam Diiktiraf

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 27 March 2018
    A- A+

    JITRA – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pengiktirafan Liga Muslim Sedunia terhadap konsep Wasatiyyah yang diamalkan Malaysia membuktikan negara mempunyai komitmen tinggi dalam menegakkan syiar dan syariat Islam.

    Ia sekali gus mematahkan dakwaan sesetengah pihak bahawa Malaysia bukanlah negara Islam dan terlalu longgar dalam komitmennya meningkatkan martabat Islam, kata perdana menteri.

    “Bila kita perkenalkan konsep Wasatiyyah itulah salah satu prinsip asas dalam Islam.

    “Liga Muslim Sedunia ini bukan orang kita bayar gaji… dia lihat dan teropong semua negara di dunia dan dia kata Malaysia adalah contoh negara Islam,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada program sarapan pagi bersama pelajar tahfiz di Madrasah Al-Ulum Ad-Diniah Al-Usmaniah Pondok Tanjung Kapor dekat sini hari ini.

    Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

    Baru-baru ini, WML mengeluarkan kenyataan menyokong pendekatan kesederhanaan yang dibawa Najib dalam menghadapi keganasan demi menjaga keamanan dan keharmonian di Malaysia.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohammed Al-Issa berkata inisiatif Najib dalam merintis Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) adalah sejajar dengan usaha WML untuk menentang ideologi pelampau dengan menyebar pemikiran kesederhanaan dalam Islam.

    Najib berkata kerajaan sudah pastinya menentukan dasar negara berpandukan kepada kehendak dan prinsip agama dan paling penting, menjadikan maqasid syariah sebagai tonggaknya.

    Perdana menteri berkata, bukan sahaja WML, malah Arab Saudi turut mengikitraf negara sebagai antara contoh negara Islam terbaik apabila Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud memilih Malaysia sebagai destinasi pertama negara Islam dikunjungi beliau di rantau ini.

    “Lawatan Raja Salman membuka lembaran baharu dalam hubungan antara kedua-dua negara malah beliau (Raja Salman) turut bersetuju menambah kuota haji kita selain memilih Malaysia untuk menempatkan King Salman Centre of International Peace,” katanya.

    Mengenai institusi pondok dan tahfiz, Najib berkata pengenalan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara yang tidak pernah dibuat sebelum ini, mencerminkan komitmen dan keprihatinan kerajaan terhadap pendidikan agama Islam.

    “Saya nak memberi gambaran jelas bahawa sebagai sebuah kerajaan pimpinan saya, pendidikan agama di peringkat sekolah pondok sangat dekat di hati kerajaan.

    “Kita mahu supaya pendidikan yakni pendidikan institusi tahfiz dan agama di sekolah pondok tidak lagi dipandang sepi tanpa perhatian dan bantuan kerajaan malah sudah diangkat jadi dasar dan agenda penting kerajaan,” katanya.

    Perdana menteri pada majlis itu kemudian menyerahkan replika cek bantuan berjumlah RM6.1 juta yang dikhususkan untuk 25 Sekolah Agama Rakyat, 11 sekolah pondok dan untuk baik pulih masjid serta surau di Kedah. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Komitmen Malaysia Laksana Syariat Islam Diiktiraf "