• Kes ‘Manusia Jelmaan Harimau’ Disiasat

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 7 March 2018
    A- A+


    JAKARTA – Pihak berkuasa menyiasat kejadian seekor harimau Sumatera yang dibunuh dengan tombak oleh penduduk kampung di Sumatera Utara kerana menyangka haiwan itu adalah manusia jelmaan harimau atau siluman.

    Menurut Agensi, Jakarta Post melaporkan, harimau jantan daripada spesies terancam itu dibunuh penduduk di kampung Hatupangan di Batang Natal sebelum bangkai digantung di dewan orang ramai di kampung berkenaan pada Ahad lalu.

    “Harimau ini tidur di bawah rumah sebelum beberapa penduduk menikam perutnya beberapa kali menggunakan tombak,” kata ketua daerah Batang Natal, Lion Muslim kepada Jakarta Post.

    Lion berkata, penduduk tahu harimau itu adalah spesies terancam dan dilindungi kerajaan tetapi mereka takut kerana terdapat khabar angin mengenai siluman yang berkeliaran di kampung berkenaan.

    Sementara itu, pengarah Badan Pemuliharaan Sumber Alam (BKSDA) Sumatera Utara, Hotmauli Sianturi memberitahu, beberapa hari sebelum kejadian pihaknya cuba menasihati penduduk supaya tidak membunuh harimau itu.

    “Kami termasuk pegawai Tentera Nasional Indonesia ada berbincang dengan penduduk tetapi mereka tidak mendengar nasihat kami,” jelasnya.

    Sementara itu, pengarah eksekutif Yayasan Scorpion, Gunung Gea kesal dengan tindakan kejam penduduk yang membunuh dan menggantung bangkai haiwan itu di dewan.

    Harimau Sumatera antara spesies terancam dan bilangan haiwan itu dianggarkan tidak lebih 600 ekor.-SUARATV

    Subjects:

  • No Comment to " Kes ‘Manusia Jelmaan Harimau’ Disiasat "