• Kerajaan Tingkat Usaha Majukan Pendidikan Di Sabah

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 2 March 2018
    A- A+

    SEPANGGAR - Kerajaan akan terus mempertingkatkan usaha dan komitmen bagi memastikan bidang pendidikan di Sabah terus maju.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha untuk memajukan bidang pendidikan sangat penting bagi memastikan rakyat Sabah berpeluang mempertingkatkan potensi diri ke tahap maksimum.

    “Apa yang dilakukan kerajaan pada masa ini adalah untuk terus meningkatkan kemajuan bidang pendidikan, dan proses pembelajaran dan pengajaran.

    "Ia sekali gus secara berperingkat menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan BN sangat komited membangunkan sekolah-sekolah daif kepada sekolah lebih moden, bukan sahaja dari segi bangunan tetapi memasukkan unsur-unsur seperti bilik darjah abad ke-21,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Telipok dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Telipok, di sini, hari ini.

    Turut serta dalam lawatan itu, Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

    Najib berkata, konsep untuk membina SMK dan SK Pekan Telipok di satu lokasi tapak yang sama adalah sangat baik.

    “Kedua-dua sekolah dapat berkongsi pelbagai kemudahan seperti padang,” katanya.

    Menurutnya, SMK Pekan Telipok melibatkan kos pembinaan RM31 juta, manakala SK Pekan Telipok melibatkan kos pembinaan RM18 juta.

    SK Pekan Telipok dan SMK Pekan Telipok sebelum ini beroperasi di bangunan lama, kira-kira dua kilometer dari lokasi baharu dalam keadaan bangunan daif.

    Bangunan baharu yang mula dibina sejak 2009 itu sebelum ini tertangguh akibat masalah teknikal dan telah disambung semula pembinaannya pada 2013, dan siap pada tahun ini.

    Bangunan baharu yang menempatkan 837 pelajar dan 58 guru SMK Pekan Telipok, serta 704 murid dan 43 guru SK Pekan Telipok itu mula beroperasi pada 20 Februari lalu. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Tingkat Usaha Majukan Pendidikan Di Sabah "