• Kenaikan Elaun Untuk Anggota APM Sangat Wajar - Shahidan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 12 March 2018
    A- A+

    KANGAR - Kenaikan elaun untuk anggota sukarela Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, adalah keperluan yang sangat wajar dipenuhi.

    Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata sebagai anggota yang berada di barisan hadapan dalam pengurusan bencana seperti banjir, mereka sering bekerja lebih lama berbanding anggota sukarela lain dengan kadar elaun yang agak rendah sebelum ini.

    Katanya sehubungan itu permintaan untuk menaikkan kadar elaun anggota APM sudah lama dibuat dan dakwaan bahawa pengumuman timbalan perdana menteri itu dibuat memandangkan pilihan raya umum yang semakin hampir adalah tidak benar sama sekali.

    “Kami ucapkan terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional di atas keprihatinan ini dan kenaikan elaun ini akan memberikan kebaikan buat semua anggota APM,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pergerakan Wanita UMNO negeri di Dewan Warisan di sini, malam tadi.

    Kenaikan elaun itu memanfaatkan kira-kira 2.1 juta anggota APM di seluruh negara yang sentiasa bersedia memberi bantuan awal kepada rakyat yang ditimpa bencana, di samping menunjukkan bahawa kerajaan mengiktiraf jasa sukarelawan yang berkhidmat tanpa mengira masa, katanya.-- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kenaikan Elaun Untuk Anggota APM Sangat Wajar - Shahidan "