• Kehilangan MH370 Terus Jadi Misteri

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 8 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 sejak empat tahun lepas masih kekal misteri dengan tiada sebarang penemuan besar dalam operasi pencarian di Selatan Lautan Hindi sejak dilancarkan awal tahun ini.

    Ulang tahun keempat kehilangan pesawat itu disambut pada Khamis namun tiada khabar gembira diperoleh apabila operasi pencarian oleh kapal “Seabed Constructor” masih gagal membawa kepada petanda baru walaupun sudah melebihi 16,000 km persegi kawasan pencarian.

    Khabar gembira hanyalah pengumuman dari Jabatan Penerbangan Awam bahawa operasi pencarian dilanjutkan sehingga Jun dan pakar penerbangan menyifatkannya sebagai usaha optimistik pihak berkuasa menyelesaikan teka-teki kehilangan pesawat berkenaan.

    Juruterbang pandu uji Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata buat masa sekarang ini, harapan kepada “Seabed Constructor” adalah tinggi kerana ia adalah satu-satunya kapal yang diberi mandat secara formal untuk mencari secara fizikal bangkai pesawat MH370.

    “Namun begitu, ada beberapa ‘independent organizations' (badan bebas) yang masih melakukan analisis terasing untuk ‘pinpoint' (mengenal pasti) secara jitu lagi akan lokasi MH370. Walaupun ini adalah bukan pencarian fizikal tetapi ia tetap berguna untuk memberi perspektif lain terhadap pencarian.

    “Satu perkara yang menarik ialah pelayar-pelayar yang berlayar di Lautan Hindi boleh dikatakan sepakat secara tidak formal untuk berkongsi informasi jika mereka menemui serpihan-serpihan pesawat. Ini sedikit sebanyak memberikan harapan juga kepada pihak keluarga,” katanya kepada Bernama.

    Pada 11 Januari, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan bahawa di bawah perjanjian dengan syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity Limited, pencarian MH370 akan disambung semula pada pertengahan Januari dengan kapal “Seabed Constructor” menjalankan pencarian di kawasan meliputi 25,000km persegi dalam masa 90 hari.

    Misi utama kapal itu ialah mengenal pasti lokasi bangkai dan/atau kedua-dua perakam penerbangan, perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR).Pencarian itu adalah berdasarkan “no cure, no fee,” yang bermakna bahawa pembayaran hanya dibuat apabila serpihan pesawat yang hilang itu ditemukan dan disahkan oleh pihak ketiga.

    Sejak meninggalkan dunia dengan teka teki ‘Goodnight Malaysia three seven zero', kehilangan pesawat itu terus menjadi misteri dan jika ia masih tidak ditemui selepas operasi pencarian berakhir pada Jun ini, Mohd Harridon berkata antara langkah yang wajar adalah untuk kembali kepada fasa analisis untuk membuat analisis yang lebih jitu akan kedudukan terakhir MH370.

    “Diharap MH370 dapat dijadikan satu kajian kes untuk pakar matematik merungkai misteri kedudukan terakhirnya dengan menggunakan informasi yang terhad,” katanya yang percaya, penutup misteri ini bukan sahaja penting untuk waris mangsa pesawat tetapi juga untuk industri penerbangan dalam mencari punca sebenar nahas untuk mengelakkan ia berlaku atau berulang kembali.

    Sementara itu, seorang lagi pakar penerbangan, Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata Lautan Hindi itu amat luas dan bukannya sesuatu yang mudah untuk pasukan mencari memberi kedudukan tepat, apatah lagi tiada isyarat yang tepat yang mengatakan inilah tempatnya pesawat itu dilihat jatuh.

    Bekas pegawai penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berkata justeru beliau berharap agar kaum keluarga tidak begitu menaruh harapan terhadap penemuan bangkai pesawat tersebut dan sekiranya ia ditemui, maka ia satu bonus untuk semua pihak terutamanya pihak keluarga.

    Ditanya mengenai pelan B jika masih tiada penemuan sehingga Jun, beliau berkata perkara ini boleh diperbincangkan dengan lebih lanjut lagi antara kerajaan dan pasukan pencari.

    Penerbangan MH370 bersama 239 orang hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014, dan kehilangan pesawat itu disifatkan antara yang paling menimbulkan misteri dalam sejarah penerbangan di dunia.

    Australia, Malaysia dan China secara bersama menggantung pencarian selama dua tahun bagi pesawat tersebut pada Januari tahun lepas.

    Tiada tanda-tanda pesawat itu ditemukan di kawasan pencarian merangkumi 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.Setakat ini, hanya tiga serpihan yang disahkan dari MH370 telah ditemukan, kesemuanya di pantai Barat Lautan Hindi termasuk bahagian sayap sepanjang dua meter dikenali sebagai “flaperon”.- Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Kehilangan MH370 Terus Jadi Misteri "