• Kecoh ‘Bendera Emas’ Mirip Kertas Sembahyang Cina

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 22 March 2018
    A- A+

    Gempar… Majlis Bandaran Jalan Besar terpaksa menurunkan puluhan kepingan plastik berwarna emas yang digantung oleh seorang wanita penggiat seni terkenal Singapura, Priyageetha Dia.

    Kepingan-kepingan tersebut digantung di sebuah flat awam HDB terletak di Blok 103 Jalan Rajah empat hari lalu dan diturunkan selepas menerima aduan daripada penduduk yang mengatakan ia mirip kertas sembahyang Cina.

    Anggota Parlimen bagi GRC Jalan Besar, Dr. Lily Neo memberitahu agensi berita tempatan MediaCorp bahawa pihak majlis bandaran itu pada Rabu sudah menurunkan semua 24 kepingan yang digantung di belebas blok itu.

    “Bukan semua orang dapat menghargai karya seni ini, kepingan emas itu mungkin mengingatkan orang ramai tentang kertas sembahyang Cina,” jelasnya yang hanya dimaklumkan mengenai pemasangan tersebut pada Rabu.

    “Kami mahu menampung seberapa ramai orang yang mungkin… jika ini adalah kawasan bersama, ia bukan milik seseorang itu sahaja,” kata Neo yang juga mengatakan majlis bandaran sudah cuba memaklumkan Priyageetha.

    Pegawai majlis bahkan pergi di rumahnya, tetapi pintu tidak dibuka. Teo dimaklumkan bahawa hasil karya seni itu dilakukan oleh artis sama dan bertanggungjawab menampal kerajang emas di tangga blok yang sama tahun lalu.

    “Sebelum ini, kami sudah beritahunya agar hubungi kami, tetapi kali ini dia tidak berbuat demikian,” kata Neo, yang turut menyuarakan minat untuk bekerjasama dengan Priyageetha bagi pameran hasil seninya pada masa hadapan.

    “Mungkin sesuatu yang dapat kekal lebih lama, berbanding sesuatu yang terdedah kepada matahari dan hujan,” dedahnya. Kepingan terbabit disimpan di pejabat majlis bandaran itu untuk dituntut oleh artis berkenaan semula.

    Penggiat seni berusia 26 tahun itu sebenarnya memang maklum akan kepingan emas yang bakal ditanggalkan dan “berkecuali” mengenai isu tersebut. Malah ujarnya kepada MediaCorp: “Saya tahu ia akan berlaku juga akhirnya.”

    Bekas penuntut Kolej Seni Lasalle itu berkongsi video hasil karya seninya, melalui akaun Facebook beliau pada Isnin dan Selasa lalu. Ia menunjukkan kepingan plastik digantung kemas dari setiap aras blok HDB kecuali aras lantai.

    Sambil menjelaskan hasil seni uniknya itu pada Rabu, beliau berkata: “Ia lebih kepada idea mencetuskan kelainan pada ruang HDB itu. Anda sama ada boleh melihatnya sebagai bendera atau sekadar selimut yang digantung.”

    Pada Mac 2017, penggiat seni itu menarik perhatian ramai selepas beliau menampal lapisan emas pada tangga blok HDB yang sama. Majlis bandaran menyifatkan tindakan pelik itu sebagai “tidak sah dan tidak dibenarkan”.

    Beliau kemudian secara sukarela bertindak menanggalkannya demi mengelak insiden tidak diingini selain bimbang ia boleh menjejaskan imej Singapura yang terkenal dengan disiplin kebersihan awam. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Kecoh ‘Bendera Emas’ Mirip Kertas Sembahyang Cina "