• Kebebasan media: Dr. Mahathir tidak akan ‘bertukar warna’

    Reporter: Admin
    Published: Thursday, 15 March 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR 15 Mac - Meletakkan harapan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya lebih banyak ruang kebebasan bersuara diberikan menerusi penghapusan undang-undang berkaitan boleh diibaratkan umpama mengharapkan musang menjaga reban ayam.

    Malah Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Madya Dr. Jeniri Amir berkata, Dr. Mahathir tidak mungkin bertukar ‘warna’ dan terus kekal dengan watak sebenar jika Pakatan Harapan yang diketuai DAP menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Katanya, janji yang diberikan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan itu juga tidak lebih sebagai umpan politik demi meraih agenda peribadi semata-mata.

    “Mengapa sewaktu 22 tahun pemerintahan beliau tidak melakukannya? Pelbagai akta digunakan beliau suatu ketika dahulu dengan mencengkam kebebasan akhbar.

    “Beliau juga perlu realistik dan sedar apa yang diperkatakannya dengan beranggapan dasar perlu bersesuaian dengan hakikat sebenar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Terdahulu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak turut mempertikai kenyataan Dr. Mahathir bahawa Pakatan Harapan yang diketuai DAP akan membenarkan lebih banyak kebebasan akhbar dan menghapuskan undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara jika diberi kuasa selepas PRU 14.

    Dalam pada itu, Jeniri berkata, rekod buruk Dr. Mahathir dalam aspek kebebasan media telah terbukti dengan menggunakan segala akta dan undang-undang terhadap media.

    “Dr. Mahathir menggunakan prinsip matlamat menghalalkan dan sanggup berbuat apa sahaja demi mencapai cita-cita politiknya. Maka janji yang ditaburkan ini juga sebenarnya salah satu cara beliau meraih sokongan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Kebebasan media: Dr. Mahathir tidak akan ‘bertukar warna’ "