• Kebakaran Kilang Di Sibu Libatkan Kerugian RM8 Juta

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 7 March 2018
    A- A+

    SIBU: Sebuah kilang perabot dan peralatan pejabat di Jalan Industri Pertama, Taman Kristal Bandar Baru Sibu Jaya dekat sini yang musnah dalam kebakaran awal hari ini dianggarkan mengalami kerugian lebih kurang RM8 juta.

    Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, hasil maklumat awal, punca kebakaran berlaku disyaki akibat litar pintas dalam kilang tersebut dan kesemua barangan perabot dan peralatan pejabat terbakar.

    "Tiada unsur-unsur jenayah atau khianat dikesan serta tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Siasatan kebakaran ini dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya menerusi aplikasi Whatsapp.

    Sementara itu, menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, panggilan kebakaran diterima pukul 8.12 pagi dan pasukan dari Balai Bomba Sibu dan Balai Bomba Sungai Merah terus digerakkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.

    Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 9.05 pagi.

    "Anggaran saiz keluasan kilang adalah 100 meter x 80 meter dan ia telah terbakar 100 peratus," katanya sambil menambah tiada kecederaan dilaporkan berlaku. - Bernama
  • No Comment to " Kebakaran Kilang Di Sibu Libatkan Kerugian RM8 Juta "