• Keakraban Hubungan Abang Johari, Wan Junaidi Terserlah Di Lundu

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Sunday, 25 March 2018
    A- A+

    Lundu hari ini menjadi tumpuan ramai selepas pekan tersebut menjadi tuan rumah Program Road To Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show (MAHA) 2018 Peringkat Negeri Sarawak.

    Majlis perasmian program tersebut disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    Lebih menarik lagi Abang Johari tiba di Lundu bersama konvoi motosikal berkuasa tinggi yang disambut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga Ahli Parlimen Santubong.


    Selepas itu, Wan Junaidi mengiringi Abang Johari yang menunggang motosikal berkuasa tinggi bergerak tapak perasmian Road To MAHA 2018 Peringkat Negeri Sarawak.

    Ketika berucap merasmikan Road To MAHA 2018 Peringkat Negeri Sarawak, Abang Johari berkata, Sarawak merancang untuk membeli kapal terbang tiga tan bernilai RM10 juta untuk memudahkan pengeksportan produk pertanian negeri.


    Menurutnya, selepas dibeli nanti, kapal terbang itu akan ditempatkan di Kementerian Pertanian.

    "Kita akan menumpukan kepada mewujudkan infrastruktur sokongan kepada industri. Kita juga merancang membeli kapal terbang tiga tan bernilai RM10 juta yang akan ditempatkan di Kementerian Pertanian.

    "Kita juga akan membuka pejabat di Singapura untuk mempromosi produk pelancongan dan pertanian Sarawak," katanya.


    Selepas perasmian tersebut, Wan Junaidi bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Jamilah Anu melawat tapak pameran pelbagai jenis produk makanan, pertanian, penternakan dan pameran teknologi pertanian.

    Acara terakhir ialah Wan Junaidi bersama Abang Johari mengerjakan solat zohor berjemaah di Masjid Daerah Lundu.-Sarawakiana




  • No Comment to " Keakraban Hubungan Abang Johari, Wan Junaidi Terserlah Di Lundu "