• Jiran Atas Rumah Buat Bising Kena Saman RM539,867

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 6 March 2018
    A- A+

    SEORANG pegawai bank kaya yang menyaman jiran di tingkat atas kediamannya gara-gara bunyi bising yang dibuat oleh anak jirannya itu berjaya memenangi £100,000 (RM539,867).

    Sarvenaz Fouladi, 38, mendakwa dia diganggu dengan bunyi bising berterusan dari rumah keluarga Sarah dan Ahmed El Kerrami yang terletak di atas kediaman mewahnya di barat London.

    Wanita itu mendakwa anak-anak jiran berkenaan memperlakukan rumah mereka seperti taman permainan, termasuk berlair di atas lantai kayu selama berjam-jam.

    Kediaman Sarvenaz di Kensington itu dianggarkan bernilai £2.6 juta (RM14.04 juta).

    Bunyi bising itu didakwa telah merosakkan ketenteraman pada siang hari dan bersambung sehingga ke waktu malam, kata Sarvenaz.

    Sarvenaz yang tinggal bersama ibunya menyaman pasangan suami isteri itu berjaya mendapatkan wang pampasan pada Isnin.

    Hakim Nicholas Parfitt berkata, bunyi bising yang berlaku setiap hari itu menyebabkan masalah di blok rumah agam di High Street Kensington.

    Namun, beliau menambah, El Kerramis sepatutnya memasang karpet di atas lantai kayu di ruang tamu rumah mereka.

    "Saya dapati bunyi bising itu juga disebabkan oleh majlis yang dianjurkan sehingga lewat malam, termasuk bunyi nyanyian dan dram.

    "Kesan bunyi bising itu amat kuat dan mengganggu orang lain," katanya.

    Servanaz mengadu bunyi alat pemanas air, peti sejuk dan titisan air di rumah jirannya itu mula mengganggu waktu tidurnya dan waktu berehat pada siang hari.

    Mereka telah hidup berjiran sejak 2010. - Mirror UK/mStar

    Subjects:

  • No Comment to " Jiran Atas Rumah Buat Bising Kena Saman RM539,867 "