• Jihad Bangunkan Ekonomi Bumiputera Diteruskan - Najib

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Saturday, 31 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa tahap ekonomi Bumiputera akan terus diperkasa di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi.

    Beliau berkata sehingga kini, dana berjumlah RM77 bilion telah diagihkan kerajaan pusat kepada usahawan Bumiputera melalui 13 agensi utamanya.

    Najib yang juga Menteri Kewangan berkata ini termasuk RM19 bilion yang disalurkan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia, Tekun Nasional (RM5 bilion) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (hampir RM3 bilion).

    “Sememangnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin dalam soal pembangunan ekonomi Bumiputera. Perjuangan jihad ini saya teruskan walau apa jua cabaran mendatang kerana itulah tanggungjawab saya sebagai ketua BN (Barisan Nasional),” katanya semasa berucap pada Himpunan Usahawan Bumiputera di sini, hari ini.

    Sejak diberi amanah memikul tanggungjawab sebagai perdana menteri pada 2009, Najib berkata beliau tekad meneruskan warisan murni ayahandanya yang juga perdana menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang memperkenalkan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dalam usaha merapatkan jurang ekonomi masyarakat termasuk Bumiputera.

    Ikrar Najib yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu disambut tepukan dan sorakan hadirin pada majlis itu, yang turut dihadiri isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Najib berkata adalah menjadi dasar kerajaan yang diterajui BN dan ditunjangi UMNO untuk membela nasib ekonomi kaum Bumiputera, yang menyaksikan kesungguhan perjuangan itu bermula dengan pengenalan DEB hampir 50 tahun lepas diikuti pelancaran Transformasi Kesejahteraan Bumiputera pada tahun lepas.

    Beliau berkata hasrat kerajaan membangunkan kedudukan ekonomi Bumiputera bermula lebih awal dengan penubuhan Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada 1966 yang mempunyai jasa amat besar kepada kaum Bumiputera dalam bidang seperti pendidikan dan perniagaan.

    Perdana menteri berkata beliau sendiri dapat melihat perbezaan antara peniaga kecil dan sederhana Bumiputera sekarang berbanding semasa beliau menjadi Menteri Besar Pahang dahulu.

    "Dahulu, bilangan Bumiputera yang berniaga teramatlah kecil dan mereka hanya mampu berniaga di bazar, pasar basah dan pasar minggu. Kuasa membeli kaum Bumiputera juga tersangatlah kecil selari tahap penguasaan Bumiputera dalam ekonomi negara pada masa itu.

    “Alhamdulillah, sekarang kita dapat lihat keadaan yang ketara berbeza. Kita boleh saksikan kejayaan usahawan Bumiputera yang jauh mencipta nama dalam bidang perniagaan,” katanya dengan memberi contoh perniagaan yang dijalankan Kumpulan Naza, Ramly Food Industries, FashionValet dan Sate Kajang Haji Samuri.

    Najib menegaskan kerajaan tetap mendukung dasar memberi bantuan dan insentif kepada kaum Bumiputera kerana mahukan kesemua penduduk negara ini berpeluang menikmati kehidupan yang aman dan selesa.

    “Dengan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi daripada saudara saudari semua, saya akan terus mempertahan Agenda Bumiputera Nasional demi kesejahteraan kita bersama, dari generasi ke generasi hadapan.

    “Dengan berkat rahmat Allah jua, saya berjanji Agenda Bumiputera Nasional tidak akan berganjak sebagai tiang tunggak dasar negara kita Malaysia ini,” kata beliau.

    Dalam pada itu, Najib mengkritik manifesto pembangkang yang disifatkannya mengambil mudah agenda Bumiputera.

    Setelah meneliti manifesto pembangkang yang mengandungi 60 janji, perdana menteri berkata hanya satu janji sahaja yang menyebut ‘ekonomi Bumiputera’.

    “Itupun bukan janji pertama, bukan janji kedua, bukan janji ke-20 tetapi janji nombor 30. Saya belek lagi janji ini, ia tidak ada mengandungi apa-apa kandungan substantif untuk menegakkan, meneguhkan pembangunan ekonomi Bumiputera secara tuntas mahupun tegas.

    “Paling kuat, mereka hanya berjanji membentangkan laporan di Parlimen mengenai pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera. Itu sahaja.

    “Apa yang kaum Bumiputera dapat dari perbuatan ini? Yang lain-lain dalam janji itu dah semua kami, kerajaan BN, buat,” kata beliau.— BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Jihad Bangunkan Ekonomi Bumiputera Diteruskan - Najib "