• Jarak 7.82 M ‘Terbangkan’ Luqman Ke Sukan Asia 2018

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 19 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Impian untuk mewakili negara ke Sukan Asia 2018 semakin cerah buat atlet lompat jauh negara, Luqman Hakim Ramlan selepas membuat lompatan sejauh 7.82 meter (m) pada Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA/MILO 2018 yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

    Catatan itu sekali gus memadam catatan terbaik peribadinya 7.62m dan lebih membanggakan, ia mengatasi jarak 7.78m dicipta atlet Indonesia Suwandi Wijaya untuk merangkul pingat perak pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos tahun lepas.

    Pingat emas KL2017 acara lompat jauh menjadi milik Bui Van Dong dari Vietnam yang melakukan lompatan sejauh 7.83m manakala atlet Filipina Janry Ubas meraih gangsa dengan jarak 7.75m.

    “Saya tak sangka dapat buat 7.82m kerana pada awalnya saya hanya kejar catatan terbaik peribadi tetapi selepas keputusan dikeluarkan dan pegawai menulis ia 7.82m saya amat terkejut kerana ia ibarat satu perkara yang menakjubkan bagi diri saya.

    “Kalau ikutkan sasaran saya tahun ini hanya nak mencapai jarak lompatan 7.70m bagi mencerahkan peluang saya ke Sukan Asia 2018 sebab saya tahu peluang ke Sukan Komanwel 2018 hampir mustahil bagi diri saya,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

    Catatan itu yang hanya 0.06m di belakang rekod kebangsaan milik Josbert Tinus iaitu 7.88m dicipta di Bangkok, Thailand pada tahun 2007 turut mendapat perhatian ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas.

    “Saya ada berjumpa dengan ketua jurulatih (Zainal) selepas acara tamat dan beliau beritahu dengan jarak 7.82m itu sudah membolehkan saya layak ke Sukan Asia. Ia ibarat mimpi menjadi kenyataan kerana saya bekerja keras dan banyak berkorban masa berlatih,” katanya.

    Luqman Hakim, 23, sebelum ini terlepas peluang menjejakkan kaki di temasya sukan terbesar rantau Asia itu selepas namanya digugurkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) walaupun beliau muncul atlet pertama layak secara automatik selepas mencatat 7.53m pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2014.

    Ketika mewakili negara di KL2017, keracunan makanan yang dialaminya menyaksikan beliau gagal menyerlah apabila menamatkan saingan di tempat kelapan di belakang rakan senegara Abdul Latif Romly yang turut mengalami keracunan sama.

    Sukan Asia 2018 akan berlangsung di Jakarta dan Palembang, Indonesia bermula 18 Ogos hingga 2 Sept. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Jarak 7.82 M ‘Terbangkan’ Luqman Ke Sukan Asia 2018 "