• 'Jangan Terlalu Mudah Berkongsi Maklumat Peribadi’

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 14 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Pengguna sekali lagi diingatkan supaya tidak terlalu mudah berkongsi maklumat peribadi bagi mengelakkan penyalahgunaan data oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata, pihaknya sentiasa memandang serius mengenai perkara tersebut dengan mengambil tindakan dan memantau pihak yang terlibat.

    “Pihak kami memandang serius isu ketirisan dan penyalahgunaan data peribadi susulan daripada beberapa kejadian yang telah berlaku baru-baru ini.

    “Apa yang menjadi masalah kita, apabila masyarakat gemar berkongsi maklumat mereka kepada pihak lain. Ini adalah antara punca data peribadi pengguna disalahgunakan,” katanya ketika menjadi soalan daripada ahli Parlimen Kulai - DAP, Teo Nie Ching, di Parlimen, hari ini.

    Jailani berkata, beberapa usaha telah dijalankan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung keselamatan data peribadi. “Kita mengadakan program kesedaran melalui penganjuran seminar di seluruh negara selain membuat promosi dan publisiti di bawah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

    “Ia bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran pengguna supaya lebih berhati-hati berkongsi maklumat peribadi mereka,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata, proses siasatan bagi kes-kes berkaitan sedang dan masih berjalan sehingga kini.

    “Saksi-saksi yang telah dikenalpasti telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan.

    “Setelah lengkap, siasatan akan dikemukakan di Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

    Pada masa sama, kita akan terus jalankan aktiviti penguatkuasaan seperti pemantauan berkala,” katanya. - Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " 'Jangan Terlalu Mudah Berkongsi Maklumat Peribadi’ "