• Jangan Khianat Sesama Sendiri

    Published: Wednesday, 21 March 2018
    A- A+
    MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mahu ada sikap khianat-meng­khianati dalam kalangan semua jentera parti komponen Barisan Nasional (BN) sehingga menjejaskan kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, sikap khianat dalam kalangan parti bukan sahaja me­rugikan tetapi turut menjejaskan usaha ke arah mencapai kemenangan.

    Katanya, beliau sedar semua pihak termasuk pemimpin dan jentera parti telah melakukan yang terbaik serta bekerja kuat ke arah itu.

    “Saya yakin BN boleh menang kalau tidak ada orang melakukan khianat. Kita jangan tembak kaki sendiri, jangan bentes kaki sendiri, jangan sepak kaki kawan kalau hendak pastikan BN menang.

    “Kita mesti bantu antara satu sama lain dan yakinkan kepada rakyat. Kita dalam keluarga BN. Kalau UMNO menang, BN akan menang. MCA menang, BN menang. MIC menang, BN menang. Gerakan menang, BN menang. MyPPP menang, BN menang,” katanya.

    Beliau berucap dalam majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat dan pelancaran Jentera BN Parlimen Bukit Katil di pekarangan Menara Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Ayer Keroh di sini hari ini.

    Yang hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Idris Haron serta isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd. Ali Rustam.

    Kira-kira 10,000 orang daripada pelbagai kaum menghadiri majlis berkenaan.

    Najib berkata, beliau juga yakin kerja keras yang dilakukan pemimpin BN di negeri ini akan membantu kemenangan parti di empat Parlimen, selain merampas semula Parlimen Bukit Katil daripada pembangkang.

    Sementara itu, beliau turut mempersoalkan peranan yang dimainkan Ahli Parlimen Bukit Katil daripada PKR, Shamsul Iskandar Mohd. Akin selama sepenggal menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.

    “Saya nak tanya orang Bukit Katil, Ahli Parlimen Bukit Katil apa dia buat selama sepenggal ini? Jika BN diberi peluang menang semula di Bukit Katil, kita akan bawa lebih banyak perubahan di sini.

    “Kita akan pastikan perkhid­matan yang terjamin kepada rakyat, malah saya sedia memberikan peruntukan tambahan kepada Bukit Katil dengan syarat kita mesti undi BN,” ujarnya.- UTUSAN

    Subjects:

  • No Comment to " Jangan Khianat Sesama Sendiri "