• Jangan Harap Polis Sahaja 'Perangi' Jenayah, Penduduk Kampung Perlu Turut Serta Menerusi SRS

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Saturday, 10 March 2018
    A- A+

    KUCHING: Tanggungjawab membanteras jenayah dan menjaga keselamatan kampung bukan hanya terletak pada bahu pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaliknya masyarakat turut mempunyai peranan tersendiri dalam usaha tersebut.

    Menteri Muda Utiliti, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ini kerana bilangan anggota PDRM terhad dan mungkin sukar untuk mereka sentiasa berada di setiap kampung.

    Sehubungan itu menurutnya, penubuhan pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dilihat sebagai langkah terbaik untuk membantu PDRM menjaga keselamatan kampung dan harta benda.

    "Sudah pasti pasukan yang ditubuhkan (SRS) perlu mematuhi langkah atau peraturan ditetapkan jabatan berkaitan dan PDRM.

    "Dengan adanya pasukan SRS, sedikit sebanyak jenayah seperti salah laku, vandalisme, kecurian dan pecah rumah dapat dibendung," katanya berucap melancarkan SRS Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Kampung Pulo Ulu malam tadi.


    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai turut menggesa kepimpinan kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai mewujudkan KRT sekaligus menubuhkan pasukan SRS masing-masing.

    "Setakat ini terdapat 23 KRT diwujudkan di Pantai Damai manakala 16 SRS ditubuhkan," ujarnya.

    Malah menurutnya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setiap kampung perlu menggalakkan penyertaan anak muda dalam pasukan keselamatan.

    "Ini kerana aktiviti rondaan amat sesuai untuk mereka dan boleh meningkatkan disiplin," jelasnya.-Sarawakiana





  • No Comment to " Jangan Harap Polis Sahaja 'Perangi' Jenayah, Penduduk Kampung Perlu Turut Serta Menerusi SRS "