• Jangan Disebabkan Teknologi, Institusi Keluarga 'Runtuh'

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 26 March 2018
    A- A+

    KUCHING: Dalam era yang penuh dengan cabaran akibat ledakan teknologi terkini, institusi keluarga tidak sepatutnya menjadi 'mangsa' kerana kehidupan harmoni dan sihat perlu terus dipupuk dalam aktiviti seharian.

    Menteri Muda Utiliti, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, institusi keluarga merupakan perkara yang penting bagi membentuk keluarga yang harmoni selain membolehkan anak-anak hidup dalam selesa dan sempurna.

    Pada masa sama menurutnya, setiap lapisan masyarakat juga perlu menyahut seruan kerajaan dengan melibatkan diri dalam dunia digital bagi meningkatkan taraf kehidupan.

    "Institusi keluarga perlu sentiasa diberi perhatian dalam membentuk keluarga harmoni dan sihat.

    "Kita juga harus menyahut seruan kerajaan dalam dunia digital dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat," katanya berucap pada Majlis Penutupan Hari Keluarga Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Kampung Bintawa Hilir malam tadi.


    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, ibu bapa juga seharusnya memberi penekanan kepada aspek pengetahuan anak.

    "Usaha ini penting untuk memastikan anak-anak mempunyai ilmu yang mencukupi bagi menghadapi kehidupan yang semakin maju pada masa akan datang," ujarnya.

    Dr Abdul Rahman turut memuji penganjuran program tersebut yang disifatkannya sebagai wadah terbaik meningkakan semangat perpaduan dan kejiranan.

    "Ini kerana zaman sekarang amat payah untuk bertemu kerana masing-masing sibuk bekerja sehingga membataskan masa bertemu sesama masyarakat kampung.

    "Dengan adanya inisiatif seperti ini, masyarakat dapat diajak bersama dengan program kekeluargaan," jelasnya.-Sarawakiana


  • No Comment to " Jangan Disebabkan Teknologi, Institusi Keluarga 'Runtuh' "