• Jangan Cetus Provokasi Pada Pilihan Raya Umum - Noor Rashid

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 12 March 2018
    A- A+

    BALING -- Penyokong parti politik diingatkan supaya tidak mencetuskan kontroversi ketika berkempen pada pilihan raya umum ke-14 bagi memastikan tiada insiden buruk berlaku sepanjang tempoh berkempen, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

    Beliau berkata pemimpin parti politik berkenaan perlu memastikan penyokong mereka tidak berbuat demikian dan kesemua mereka, termasuk calon bertanding, dikehendaki mematuhi Akta Pilihan Raya serta undang-undang berkaitan.

    "Memang kita mengamalkan pendekatan mesra namun apabila ada pihak yang mahu menggugat keamanan dan keselamatan, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas. Untuk itu, (pemimpin parti) sentiasa kena maklumkan kepada penyokong mereka agar patuhi undang-undang,” katanya.

    Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling yang baharu di sini hari ini, beliau berkata 5,094 anggota dan pegawai polis di seluruh Kedah kini berada dalam keadaan siap siaga untuk bertugas pada PRU14.

    Noor Rashid berkata secara teknikal kesemua anggotanya di seluruh negara sudah pun menjalani latihan khusus bagi tujuan itu yang bermula daripada pembubaran Parlimen, penamaan calon dan pengumuman keputusan.

    Dalam perkembangan lain, Noor Rashid mahu pengwujudan balai polis dan IPD menjadi pusat komuniti bagi masyarakat setempat dalam usaha mengatasi masalah jenayah termasuk penyalahgunaan dadah dapat dilakukan dengan lebih efektif.

    "Kolaborasi antara polis dan masyarakat perlu diterapkan di mana kita kita tidak mahu infrastruktur polis ini hanya dipandang sebagai penegak undang-undang sahaja. Kita mahu beri ruang kepada masyarakat untuk datang ke sini dan memberi cadangan atau komen,” katanya.

    Turut hadir Ketua Polis Kedah Datuk Zainal Abidin Kasim dan Ketua Polis Daerah Baling Supt Sharifuddin Yusof. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Jangan Cetus Provokasi Pada Pilihan Raya Umum - Noor Rashid "