• Jangan Bersikap Sambil Lewa, Bijak Kekang Jenayah

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 26 March 2018
    A- A+

    KUCHING: Pihak polis tidak boleh bersikap sambil lewa sebaliknya bijak dalam apa jua situasi bagi terus mengekang jenayah daripada berlaku.

    Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner, Ng Ah Lek berkata, pegawai dan anggota polis pada hari ini, berdepan dengan pelbagai kes jenayah yang semakin mencabar.

    "Kita turut berdepan dengan masyarakat yang semakin celik undang-undang serta tahu tentang hak dan peranan mereka dan keadaan ini perlu kita (polis) bersedia untuk hadapi," katanya dalam ucapan semasa Majlis Serah-Terima Tugas Ketua Polis Daerah (IPD) Kuching di Bilik Mesyuarat IPD Kuching di sini hari ini.

    Ng Ah Lek yang sebelum ini merupakan bekas Penolong Pengarah Perundangan dan Siasatan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuching yang baharu berkuat kuasa hari ini.

    Ah Lek mengambil alih jawatan yang disandang oleh Senior Asisten Komisioner, Abang Ahmad Abang Julai yang dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke Bahagian Pentadbiran, Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

    Majlis serah terima tugas itu telah disaksikan oleh Ketua Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Datuk Zamani Hamdan.

    Dalam pada itu, beliau yakin peralihan kepimpinan IPD Kuching akan terus meningkatkan tahap keyakinan masyarakat di daerah berkenaan terhadap komitmen pasukan polis dalam memerangi jenayah.- Utusan Online
  • No Comment to " Jangan Bersikap Sambil Lewa, Bijak Kekang Jenayah "