• James Tay pegawai Imigresen palsu ditahan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 29 March 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA - Taktik licik seorang lelaki warga tempatan yang menyamar sebagai Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen sejak lima tahun lalu terbongkar selepas dia ditahan dalam operasi di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor semalam.

    Modus operandi suspek berusia 45 tahun itu adalah dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan Imigresen dan memakai uniform lengkap ketika berurusan bagi meyakinkan dan memperdayakan mangsa supaya berurusan dengannya.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, suspek yang dikenali dengan nama James Tay itu ditahan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan, Operasi Khas, dan Analisa, Ibu Pejabat Imigresen pada pukul 12.15 tengah hari semalam ketika sedang menunggu pelanggan di dalam sebuah kereta.

    "Ketika ditahan, suspek memakai uniform Jabatan Imigresen lengkap dengan lencana dan aksesori lain bagi mengaburi mangsa terutama golongan majikan dan pekerja asing tanpa izin (PATI).

    "Suspek turut menggunakan media sosial seperti Facebook dan Instagaram untuk mengiklankan kegiatan tersebut serta mendakwa kononnya mampu membantu mangsa mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) selain permit pembantu rumah dengan caj bayaran sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap permohonan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Mustafar berkata, suspek kemudiannya telah mambawa pasukan operasi ke kediamannya di Puchong Jaya Selangor dan pemeriksaan menemui sembilan helai uniform Jabatan Imigresen, 13 pas serta tujuh kad kuasa Jabatan Imigresen dan dokumen permohonan kerja.

    Jelas beliau, aktiviti penyamaran James Tay sejak lima tahun lalu itu terbongkar selepas pihak Imigresen menerima maklumat daripada mangsa yang hanya mengetahui PLKS yang diproses oleh suspek adalah palsu setelah ditahan oleh pihak berkuasa.

    "Kebanyakan mangsa terdiri daripada majikan dan PATI yang ingin mendapatkan PLKS secara mudah atau dokumen bermasalah seperti PLKS tamat tempoh atau lari daripada majikan.

    "Sehubungan itu, saya ingin memberi peringatan kepada orang ramai supaya terus berurusan di pejabat Imigresen dan tidak menggunakan orang tengah bagi mengelak penipuan. Sesiapa yang pernah berurusan dengan James Tay juga diminta hadir ke pejabat Jabatan Imigresen sebelum tindakan diambil," katanya.

    Tambah beliau, setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek mempunyai rangkaian dengan pihak lain dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 12 (1)(f) Akta Pasport 1966. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " James Tay pegawai Imigresen palsu ditahan "