• 'Ini Bukan Soal Pilihan Raya'

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 6 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan dalam mengurangkan tanggungan rakyat khususnya kos sara hidup bukan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semata-mata.

    Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah disusuli penubuhan Majlis Tindakan Sara Hidup (MTSH) itu adalah inisiatif berterusan kerajaan dalam menangani permasalahan rakyat.

    "Ini bukan soal PRU-14, ini menyentuh masalah rakyat," katanya sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MTSH Negara di Parlimen, hari ini.

    Timbalan Perdana Menteri turut menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V semalam, yang memuji langkah kerajaan yang berterusan untuk menangani isu yang dekat di hati rakyat menerusi pelbagai inisiatif.

    "Pujian itu perlu diterjemahkan dengan komitmen kerajaan menerusi pelaksanaan segera, maka mesyuarat pertama hari ini adalah terjemahan kerajaan.

    "Kerajaan akan melakukan tindakan segera menerusi enam kluster termasuk yang terbaru, kluster kesihatan," katanya.

    Lima kluster lain ialah makanan, perumahan, pendidikan, pengangkutan dan utiliti yang masing-masing diselia kementerian berkaitan.

    Mesyuarat lebih sejam itu yang pertama dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri itu turut membabitkan 12 menteri, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    MTSH dinaik taraf daripada Jawatankuasa Khas Mengenai Kos Sara Hidup Negara menerusi persetujuan bersama Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu.

    Ahmad Zahid berkata, menerusi mesyuarat itu, beberapa pendirian proaktif dalam isu rakyat diambil, sebagai tanda kerajaan mendengar permasalahan berkaitan kos sara hidup yang bukan hanya meliputi soal harga makanan dan minuman tetapi juga aspek mengikut kluster.

    "Saya memberi kuasa kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diketuai Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mewujudkan koordinasi kluster dalam usaha kita tidak meletakkan permasalahan rakyat 'di bawah permaidani'.

    "Saya yakin beberapa tindakan terdahulu dan kini seperti jualan Sentuhan Kasih serta penstrukturan KR1M (Kedai Rakyat 1Malaysia) 2.0 adalah langkah proaktif demi kepentingan rakyat," katanya.

    Mengulas tempoh pelaksanaan enam kluster itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya tidak menetapkan tempoh tertentu sebaliknya mengarahkan mesyuarat segera dilakukan bagi membolehkan hasil perbincangan kluster dilaporkan kepada Jemaah Menteri.

    Mengulas sama ada isu peningkatan kos sara hidup bakal menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) memenangi PRU-14, Ahmad Zahid berkata: "Jangan bimbang, kita akan buktikan." - BH online

    Subjects:

  • No Comment to " 'Ini Bukan Soal Pilihan Raya' "