• iM Sarawak Terus Bantu Sekolah Daif

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 14 March 2018
    A- A+
    KUCHING 14 Mac - Inisiatif pembangunan sosial diterajui oleh Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak (1MSAC) iaitu iM Sarawak komited membantu kerajaan negeri menaik taraf sekolah daif di Sarawak termasuk prasekolah.

    Ahli Lembaga Penasihat 1MSAC, Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie berkata, sejak empat tahun penubuhannya, iM Sarawak telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk rakyat di 1,500 lokasi di seluruh negeri ini.

    Beliau berkata, projek yang membawa manfaat kepada rakyat itu merangkumi program untuk sekolah-sekolah, belia, sukan, bekalan air dan hidro elektrik kepada penduduk terutama di pedalaman.

    “Kita selalu turun padang bertemu pemimpin akar umbi untuk mendapatkan pandangan dan cadangan tentang program yang sesuai dilaksanakan untuk penduduk di kawasan mereka.

    “Di kawasan Satok misalnya melalui Pusat Dalam Komuniti (PDK), kita telah melaksanakan Karnival Sukan pada 2016, diikuti program pemberian bantuan khas kepada taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Kemas yang dipilih,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa Program Penyerahan Bantuan Khas iM Sarawak yang disempurnakan oleh isteri Ketua Menteri merangkap Pengerusi Persatuan Kebajikan Petra Jaya (PKPJ) di Tabika Kemas Muda Hashim di sini hari ini.

    Irwan berkata, Selain Tabika Kemas Muda Hashim, beberapa Tabika Kemas lain di Satok turut dipilih untuk mendapat bantuan di bawah Program Bantuan Khas 1M Sarawak itu.

    Antara tabika berkenaan ialah Tabika Kemas Kampung Kudei, Kampung Sekedup, Ibu pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Surabaya Indah, RPR 1 Jalan Astana, Sri Harmoni, Sungai Sagah dan Kampung Mudim.

    “Melalui program ini, iM Sarawak dengan kerjasama syarikat Gagasan Sdn. Bhd. menerusi khidmat tanggungjawab sosial (CSR) menyediakan kerusi, meja, rak buku dan alat bantuan mengajar kepada tabika berkenaan.

    “Tabika Kemas Muda Hashim dipilih untuk mendapatkan bantuan ini kerana perabot digunakan sudah terlalu lama iaitu dibeli pada sekitar 1990-an dan 2000,” katanya.

    Beliau berkata, perabot baharu diterima itu diharap dapat memberi motivasi kepada guru dan murid di tabika terbabit agar lebih bersemangat untuk belajar. - UTUSAN


  • No Comment to " iM Sarawak Terus Bantu Sekolah Daif "