• Ibu Mengandung 'Mengidam' Syabu

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 28 March 2018
    A- A+

    Wanita mengandung tujuh bulan yang ditahan kerana disyaki penagih memberi alasan mengambil dadah jenis syabu kerana 'mengidam'.

    Wanita berusia 37 tahun itu adalah antara tujuh individu yang ditahan dalam Ops Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kudat, awal pagi tadi.

    Ketua AADK Kudat, Fazilawati Aji berkata, ketika ditahan wanita itu sedang tidur seorang diri di rumahnya.

    "Ketika ditahan wanita itu mengaku mengambil syabu dua hari lalu dan memberi alasan kononnya mengidam mengambil syabu.

    "Wanita itu mempunyai tiga anak dan dijaga oleh ibunya di kampung manakala suaminya keluar bekerja sebagai nelayan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, dalam operasi sama, penguat kuasa AADK Kudat menahan enam lagi individu termasuk seorang wanita.

    "Semua mereka berusia 27 hingga 37 tahun positif dadah dan dibawa ke pejabat AADK Kudat untuk tindakan lanjut.

    "Semua tujuh yang ditahan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

    Operasi yang bermula 4.30 pagi dan berakhir tiga jam kemudian turut dibantu anggota AADK Sabah.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Ibu Mengandung 'Mengidam' Syabu "