• Ibu Belajar Tadika Bersama Anak

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 13 March 2018
    A- A+

    BEIJING: Seorang wanita di China yang buta huruf di wilayah Guizhou, membuktikan usia 31 tahun bukan penghalang untuk menimba ilmu apabila memutuskan belajar di tadika bersama anak perempuannya berumur lima tahun selepas tidak berpeluang berbuat demikian ketika kecil.

    Menurut laporan media China, Shi Xiaoqin, ibu beranak dua itu memutuskan mendaftarkan diri memasuki tadika bulan lalu, dan tidak kisah dengan pandangan orang lain.

    “Saya tidak kisah apa yang orang lain katakan. Belajar bersama anak dalam kelas bukan saja membantu saya menimba ilmu, malah juga membolehkan saya mengajarnya kelak.

    “Sebaik tahu membaca dan menulis, saya boleh membantu anak saya belajar di rumah agar mereka berpeluang mendapatkan pekerjaan lebih baik,” katanya.

    Portal berita Ynet.com melaporkan, ada beberapa sebab dia tidak ke sekolah ketika kecil.

    Shi dan suaminya adalah pekerja migran di wilayah Fujian, Hainan dan Guangdong. Tidak boleh membaca dan menulis menjadi penghalang untuknya memperoleh pekerjaan.

    Gurunya, Chi Mingxia berkata, Shi begitu komited memperbaiki diri dan membuat banyak kemajuan.

    “Dia belajar bersungguh-sungguh dan sudah mampu menguasai bahasa Mandarin selain mengenali banyak huruf. Dia menjadi contoh yang baik kepada kanak-kanak lain di tadika.

    “Kami dengan hati terbuka menerima permohonannya untuk belajar di tadika ini walaupun dia lebih tua berbanding guru yang mengajarnya,” katanya. - Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Ibu Belajar Tadika Bersama Anak "