• Hujan Wang Tunai Di Bumi Jakarta

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 1 March 2018
    A- A+

    JAKARTA: Pengguna jalan raya di pusat bandar raya Indonesia ini hampir tidak mempercayai mata mereka apabila wang kertas turun dari langit seperti hujan.

    Fenomena ‘ajaib’ bergelar hujan duit itu dilaporkan berlaku pada Selasa di Jalan Rasuna Said di Kuningan, Jakarta Selatan, berhampiran kompleks beli belah Plaza Festival.

    Menerusi rakaman video yang tular, ribuan wang kertas terdiri daripada not 10,000 rupiah (RM2.85), 5,000 rupiah (RM1.42), dan 2,000 rupiah (RM0.57) dilihat dilempar oleh dua individu dari sebuah kren di sebelah papan iklan.

    Kedua-duanya yang dilihat berpakaian ala kontraktor melemparkan timbunan wang tunai berkenaan sehingga membuatkan jalan raya tersebut mengalami sedikit kesesakan lalu lintas.

    Seorang saksi memberitahu portal berita Tribun News, insiden itu bermula kira-kira pukul 12.30 tengah hari dan berlangsung selama 20 minit.

    “Lebih kurang pukul 12.30 tengah hari, ada dua individu naik kren dekat papan iklan sebelum melemparkan wang dari atas.

    “Saya sempat ikut orang ramai yang menyerbu kawasan itu dan dapat beberapa keping 20,000 rupiah,” kata saksi yang dikenali sebagai Dede.

    Walaupun tiada sebarang kenyataan rasmi dari mana-mana syarikat berhubung hujan wang itu, billboard itu jelas memaparkan iklan ‘hujan duit’ bersama logo daripada sebuah syarikat aplikasi.

    Perkara itu lantas menyebabkan ramai memberi andaian bahawa syarikat aplikasi itu bertanggungjawab di sebalik apa yang berlaku.

    Biarpun nilai wang kertas berkenaan tidak tinggi, namun orang ramai dilihat berebut dalam keadaan berseronok, malah ada mengguna pelbagai alatan untuk ‘menangkap’ wang seberapa banyak yang boleh. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Hujan Wang Tunai Di Bumi Jakarta "