• Hanya BN Prihatin Keperluan Kaum Orang Asli

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Saturday, 31 March 2018
    A- A+


    PEKAN – Kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan satu-satunya kerajaan yang prihatin dan peka dengan keperluan masyarakat Orang Asli, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Beliau berkata pelbagai program dilaksanakan khusus untuk memajukan masyarakat Orang Asli kerana mahu golongan tersebut maju seiring dengan masyarakat lain di negara ini.

    Pelaksanaan pelbagai program, menurut perdana menteri, dilakukan dengan mengambil kira keunikan, keperluan, sikap dan nilai masyarakat Orang Asli kerana kerajaan sedar masyarakat berkenaan mempunyai cabaran tersendiri yang perlu diatasi.

    “Saya percaya bahawa kalau kita mahu bersandar atau berteduh, mestilah di bawah pokok kukuh dan tegap iaitu BN. Kita tidak boleh berpaut pada dahan yang sudah tua atau sudah reput.

    “Sepanjang susah, siapakah yang membantu? siapakah yang datang melawat dan bertanya khabar? Bukankah pemimpin BN yang sejak dahulu sehingga sekarang,” katanya semasa berucap pada Lawatan Kerja dan Ramah Mesra Bersama Masyarakat orang Asli Pekan di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpai di sini, hari ini.

    Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang Datuk Seri Ishak Muhammad, anggota Dewan Negara Senator Datuk Isa Ab Hamid, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) Johari Alwi dan Ketua Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Seri Ir Azman Mohd.

    Najib berkata beliau berharap masyarakat Orang Asli tidak akan termakan dengan janji pembangkang yang disifatkannya hanya datang apabila pilihan raya umum semakin hampir memberi janji yang diibaratkan sebagai janji kosong.

    Katanya, perkara itu berbeza daripada pendekatan BN yang mempunyai rekod baik kerana sentiasa menepati dan menunaikan janji yang dibuat.

    “Yang lain tidak boleh pakai… tak akan kita hendak ambil orang yang entah bila kita tengok muka dia? Tak pernah timbul tapi alih-alih timbul dalam kalangan kita.

    “Tentulah orang ini semata-mata hendak menagih sokongan kita sahaja. Tapi kita tak mahu orang yang datang sekali sahaja seumur hidup. kita mahu orang yang sentiasa bersama kita sepanjang masa,” katanya.

    Dalam ucapannya, perdana menteri juga menyebut kejayaan pelbagai projek yang dilaksanakan kerajaan BN sejak dahulu untuk kesejahteraan masyarakat Orang Asli, yang mana mengikut data Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) terdapat 853 perkampungan masyarakat Orang Asli berdaftar di Semenanjung Malaysia.

    Daripada jumlah itu, 720 kampung telah menikmati jalan masuk, bekalan elektrik (660 kampung), bekalan air (701 kampung) dan projek perumahan rakyat termiskin (18,763 buah rumah), katanya.

    “Kerajaan menyasarkan kesemua 853 perkampungan akan menikmati kemudahan itu menjelang 2023 sekali gus boleh meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli.

    “Kita juga ingin menambah lagi projek TSK (Tanam Semula Komersial) kerana mereka yang bertuah akan mendapat pendapatan antara RM500 hingga RM900 setiap bulan tanpa perlu mengeluarkan peluh. Ini adalah faedah yang diberikan kerajaan BN,” katanya.

    Dalam ucapannya, perdana menteri juga membuat tawaran kepada masyarakat Orang Asli di Parlimen Pekan untuk mengulangi semula peristiwa penting yang menjadi ‘kenangannya sebagai orang politik’.

    Katanya, pada pilihan raya umum ke-12, beliau mendapat 100 peratus undi di sebuah perkampungan Orang Asli, iaitu Kampung Api Larat.

    “Seandainya peristiwa itu berulang lagi pada pilihan raya umum akan datang, Insya-Allah saya akan memberi pertimbangan dan hadiah teristimewa kepada mana-mana perkampungan Orang Asli yang dapat mengulangi sejarah kegemilangan ini,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Hanya BN Prihatin Keperluan Kaum Orang Asli "