• ‘Hantu’ Kit Siang Muncul Di Dewan Rakyat!

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 29 March 2018
    A- A+


    SEJAK semalam tular klip video yang menunjukkan penampakan hantu wanita berkebaya merah di sebuah lebuhraya sunyi, namun hari ini Dewan Rakyat turut menerima kunjungan ‘hantu’ juga.

    Kemunculan Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang di dalam Dewan Rakyat walaupun sudah digantung enam bulan mulai Rabu semalam membuatkan Tan Sri Noh Omar dan Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi menggelarkannya sebagai ‘hantu’!

    Menteri Kesejanteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menempelak Kit Siang yang tiba-tiba bangun mencelah bertanya kepada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia sama ada beliau digantung sehari atau enam bulan.

    “Saya 23 tahun di dalam Dewan. Suara itu (Kit Siang) saya biasa dengar tetapi saya tidak nampak,” katanya sambil Pandikar meminta Noh meneruskan pembentangan usul berkaitan kementeriannya.

    Budiman kemudian bangun mencelah.

    “Ada suara hantu,” katanya.

    “Hantu, ialah mungkin hantu. Sebab itu, dia tak faham bahasa,” sambut Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang.

    “Kalau saya kena halau saya keluar Dewan, ini (KIt Siang) duduk lagi dalam Dewan,” kata Noh lagi dengan sinis.

    Kit Siang juga berada di dalam Dewan ketika perbahasan dan undian belah bahagian syor persempadanan semula kawasan pilihan raya petang semalam.

    Sebelum itu Ahli Parlimen Setiu Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh bangun bertanya Pandikar mengenai status Kit Siang yang digantung semalam tetapi masih ada di dalam Dewan hari ini.

    Bagaimanapun, Pandikar hanya menjawab, beliau juga ‘tidak nampak’ Ahli Parlimen Gelang Patah itu walaupun Kit Siang duduk di kerusi tidak jauh daripadanya.

    Dewan kermudian panas dengan beberapa ahli parlimen pembangkang bertikam lidah dengan Noh untuk mempertahankan Kit Siang.-MYNEWSHUB.CC/Agenda Daily

    Subjects:

  • No Comment to " ‘Hantu’ Kit Siang Muncul Di Dewan Rakyat! "