• Hampir 2,000 Agensi Laksana Ikrar Bebas Rasuah

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 20 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,966 agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sehingga 23 Feb lalu.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata demikian dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) yang ingin tahu jumlah terkini mereka yang telah melaksanakan IBR dan menjadi Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah).

    IBR yang memberi penekanan kepada ikrar dan janji secara sukarela oleh para kepimpinan organisasi dan warganya bagi menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah diperkenal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada awal 2017.

    Dalam pada itu, Paul Low berkata sehingga tarikh sama, SPRM menerima 160,000 permohonan untuk menjadi ahli Sahabat Gerah dan seramai 95,104 daripadanya telah diluluskan.

    Gerah yang diwujudkan pada Ogos tahun lepas bermatlamat memberi peluang kepada masyarakat untuk sama-sama terlibat dengan SPRM dalam usaha pencegahan rasuah dan memeranginya secara habis-habisan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Hampir 2,000 Agensi Laksana Ikrar Bebas Rasuah "