• Hadapi Kepungan, Qatar Beli Helikopter Perang Terbaharu

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 15 March 2018
    A- A+


    QATAR yang sedang berdepan krisis diplomatik akibat dikepung pakatan diketuai negara jirannya Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) meningkatkan belanja ketenteraan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

    Dalam perbelanjaan terbaru yang berprofil tinggi, Doha pada Rabu mengumumkan perbelanjaan sebanyak AS3.71 bilion membeli 28 buah helikopter tentera.

    Pembelian pesawat NH90 buatan Eropah itu diumumkan dalam satu pameran peralatan ketenteraan di Doha.

    Firma Itali Leonardo bertindak sebagai kontraktor utama, tetapi perjanjian itu ditandatangani bersama NHI Consortium melibatkan Airbus dan Fokker dari Belanda.

    “Kami berbangga dapat menandatangani kontrak ini yang meluaskan dan meneruskan kerjasama kukuh dan jangka panjang kami dengan Qatar,” kata Alessandro Profumo, ketua pegawai eksekutif Leonardo.

    Katanya penghantaran helikopter tentera itu dijangka bermula pada 2022.

    Pada hari yang sama, Qatar juga mengumumkan satu memorandum persefahaman dalam bidang keselamatan siber ditandatangani dengan Raytheon, kontraktor pertahanan Amerika Syarikat.

    Qatar dipulau oleh Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir sejak sembilan bulan lalu, berkait pertikaian politik, diplomatik dan ekonomi antara negara terbabit dengan Doha.

    Menteri Pertahanan Qatar Khalid bin Mohammad al-Attiyah mendakwa pakatan negara Arab itu pernah merancang untuk menakluk negara yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 itu.

    Sejak krisis politik itu bermula, Qatar yang terancam telah membelanjakan AS$30 bilion untuk membeli peralatan pertahanan.

    Antara pembelian terbesar ialah jet pejuang F-15 dari AS, pesawat Rafale dari Perancis dan Typhoon dari Britain. – AFP/Mynewshub.cc


    Subjects:

  • No Comment to " Hadapi Kepungan, Qatar Beli Helikopter Perang Terbaharu "