• 'Gunung' Paling Rendah Di Dunia

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 27 March 2018
    A- A+

    BEIJING: Sebuah ‘gunung’ di Shouguang di wilayah Shandong, China adalah lokasi tarikan pelancong popular bukan kerana ketinggiannya tetapi kerana ia dianggap puncak paling rendah di dunia.

    ‘Gunung’ Jingshan yang mempunyai ketinggian 0.6 meter itu boleh ditawan dengan satu langkah sahaja.

    Mungkin ramai yang ketawa apabila melihat ‘gunung’ itu tetapi dipercayai batu itu adalah puncak kepada gunung bawah tanah.

    Jingshan satu-satunya gunung di daerah Shouguang dan ia menjadi simbol serta tarikan pelancong ke wilayah berkenaan.

    ‘Gunung’ itu juga dilindungi undang-undang dan tiada siapa dibenarkan menggali atau membina binaan berhampirannya.

    Bekas kurator Muzium Shouguang Bo, Zheng Binhai memberitahu, ketika pemerintahan Mao Zedong ada pihak ditugaskan menggali sekeliling Jingshan bagi membuktikan ia bukan gunung tetapi hanya batu biasa.

    Bagaimanapun, selepas beberapa hari menggali sedalam beberapa meter mereka masih belum menemui dasar batu itu sebelum akhirnya berputus asa.

    Kemudiannya pada 1985, pihak lain pula berusaha menggali gunung itu tetapi tetap gagal dan sejak itu batu berkenaan diiktiraf pihak berkuasa sebagai gunung.

    Namun, sehingga kini tiada pihak yang membuat kajian bagi membuktikan dakwaan itu atau cuba mengukur ketinggian sebenar gunung bawah tanah berkenaan. - Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " 'Gunung' Paling Rendah Di Dunia "