• Guna Persempadanan Baharu Jika Diwarta Sebelum Parlimen Bubar - Pengerusi SPR

    Published: Wednesday, 21 March 2018
    A- A+

    ARAU -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengguna pakai kawasan persempadanan baharu jika ia diwartakan sebelum Parlimen ke-13 dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) diadakan, kata Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

    Beliau berkata SPR akan membawa usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang diluluskan Dewan Rakyat untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

    "SPR hanya perlu masa sehari untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Pertuan Agong dan selepas itu draf tersebut menjadi rasmi dan boleh digunakan untuk PRU14," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen #jomkitasemak dan #jomkitaundi SPR di Universiti Malaysia Perlis di sini hari ini.

    Mohd Hashim berkata persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya dibuat berdasarkan kemajuan dan pembangunan demografi kawasan dan penduduk, sekali gus menyangkal dakwaan parti-parti politik khususnya pembangkang bahawa proses itu dilakukan bertujuan memenangkan parti pemerintah.

    Katanya persempadanan semula itu sepatutnya telah diluluskan sejak dua tahun lepas namun tertangguh kerana ia dibawa ke mahkamah oleh pembangkang menyebabkan perkara itu tertangguh.

    Pada 10 Mac, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usul persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibentang untuk dibahas dan diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sehingga 5 April.

    Menyentuh dakwaan pihak tertentu kononnya suruhanjaya itu telah menukar prosedur pengiraan undi dan penamaan ejen tanpa pemberitahuan awal, Mohd Hashim menegaskan bahawa sistem perjalanan pilihan raya itu tidak berubah.

    Bagi memastikan proses pengundian dan pengiraan undi telus, Mohd Hashim meminta parti-parti bertanding mengemukakan ejen yang mencukupi di 29,097 saluran mengundi di 8,971 pusat mengundi dan penjumlahan undi.

    “SPR rayu, minta parti politik hantar ejen secukupnya di tiga tempat iaitu tempat mengundi, pengiran undi dan barung semakan,” katanya semasa menjelaskan isu berkenaan.

    Mohd Hashim berkata buat pertama kali, SPR memberi peluang kepada mahsiswa untuk terlibat sebagai pemerhati proses perjalanan pilihan raya.

    Mohd Hashim berkata SPR menjemput 12 negara sebagai pemerhati di samping badan bukan kerajaan (NGO) yang berkecuali sepanjang PRU14 berlangsung berbanding hanya tiga negara pada PRU13.

    Beliau berharap PRU14 menjadi pilihan raya yang terbersih dalam sejarah pilihan raya negara.

    "Saya percaya kepada pihak keselamatan untuk menjaga keselamatan dan memastikan perjalanan PRU14 lancar, selamat dan harmoni," katanya.

    Pada majlis itu, Mohd Hashim melancarkan kempen #jomkitasemak dan #jomkitaundi SPR bagi menggalakkan pemilih berdaftar keluar mengundi dengan sasaran peratusan keluar mengundi sebanyak 85 peratus.

    SPR turut melancarkan media sosial suruhanjaya itu iaitu Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat berhubung PRU.

    Pemilih berdaftar boleh menyemak tempat mengundi melalui aplikasi mudah alih My SPR Semak yang boleh dimuat turun dalam Google Play Apps atau Apple Apps. Mereka juga boleh menghubungi talian 03-8892 7018 atau mana-mana pejabat SPR negeri atau di portal rasmi SPR di www.spr.gov.my atau menghantar SMS ke talian 15888 dengan menaip SPR nombor kad pengenalan.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Guna Persempadanan Baharu Jika Diwarta Sebelum Parlimen Bubar - Pengerusi SPR "