• Grab Hampir Muktamad Beli Uber Technologies Inc

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 9 March 2018
    A- A+

    SINGAPURA: Grab, penyedia perkhidmatan e-panggilan terkemuka di Asia Tenggara hampir memuktamadkan urus niaga untuk membeli perniagaan Uber Technologies Inc di rantau ini.

    Menurut sumber yang rapat dengan perkara itu, kedua-dua berkemungkinan akan menandatangani perjanjian berkenaan minggu ini atau minggu berikutnya.

    Menerusi terma perjanjian yang dicadangkan, Grab akan membeli operasi Uber di pasaran tertentu di Asia Tenggara manakala Uber akan memiliki saham di dalam Grab, kata sumber yang tidak mahu namanya didedahkan.

    Strukturnya akan sama dengan perjanjian antara Uber dan Didi Chuxing di China pada 2016 apabila syarikat yang berpangkalan di San Francisco itu menjual operasi tempatannya sebagai pertukaran untuk memiliki ekuiti dalam syarikat.

    Menerusi senario yang akan dipertimbangkan itu, saham Uber di dalam Grab berkemungkinan adalah sebanyak 20 peratus, kata sumber berkenaan.

    Grab sudah mengadakan perbincangan berasingan dengan pelabur sedia ada, termasuk SoftBank Group Corp dan pelabur baru untuk modal tambahan.

    Baru-baru ini Grab dinilaikan pada harga AS$6 bilion (RM23.4 bilion) menurut CB Insights.

    Bagaimanapun, perbincangan semasa masih dalam penelitian atau syarat dan masa mungkin berubah.

    Sementara itu, Grab dan Uber enggan mengulas mengenai perkara itu.

    Pengasas bersama yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Grab Anthony Tan berkata, perjanjian itu akan mengakhiri persaingan dalam menerajui pasaran perkhidmatan e-panggilan di Asia Tenggara yang berkembang pesat.

    Syarikat berkenaan bergelut untuk menjadi peneraju dalam kebanyakan bandar di seluruh rantau Asia Tenggara yang memiliki 620 juta penduduk.

    Ketua Pegawai Eksekutif Uber Dara Khosrowshahi mendapat tekanan untuk mengukuhkan prestasi kewangan syarikat dalam persediaan untuk tawaran awam permulaan (IPO) tahun depan.

    Khosrowshahi memberi isyarat ketika lawatan di seluruh Asia bulan lalu bahawa beliau komited untuk menjadi peneraju dalam pasaran e-panggilan termasuk di Jepun dan India.

    Grab yang mempunyai lebih 81 juta muat turun aplikasi mudah alih, kini menawarkan perkhidmatan di 178 bandar di Singapura, Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand, Vietnam, Myanmar dan Kemboja.-Bloomberg

    Subjects:

  • No Comment to " Grab Hampir Muktamad Beli Uber Technologies Inc "