• Gigih Beratur Dari Malam Tadi, Jualan Gudang Apple Di MyTown Dibatalkan

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 2 March 2018
    A- A+

    Hasrat ribuan peminat produk Apple Inc. (Apple) untuk memiliki barangan tersebut dengan harga termurah sempena jualan gudang yang berlangsung di pusat membeli belah MyTown hari ini hingga Ahad nanti (4 Februari) nampaknya ‘berkubur’ apabila jualan tersebut terpaksa dibatalkan, serta-merta.

    Switch dalam satu kenyataan di laman sesawang mereka sebentar tadi memaklumkan kedai syarikat itu ditutup atas faktor keselamatan susulan orang ramai berpusu-pusu menyerbu cawangan tersebut.

    “Atas sebab-sebab keselamatan, dukacita dimaklumkan bahawa Switch dan pengurusan MyTown telah membuat keputusan untuk menghentikan operasi dan cawangan Switch akan ditutup untuk hari ini.

    “Keselamatan anda keutamaan kami. Sila pastikan keselamatan dan keluar dengan cara yang teratur,” demikian kata Switch dalam kenyataan tersebut, hari ini.

    Menurut kemaskini di laman sesawang tersebut, jualan gudang bagi pelbagai produk jenama Apple termasuk telefon bimbit yang dijual dengan harga serendah RM200 bermula kira-kira jam 10.20 pagi.

    Pihak Switch pada awal pagi tadi telah memberi peringatan kepada orang ramai yang beratur di sepanjang jalan di MyTown atau di luar bangunan supaya tidak berada dalam barisan memandangkan kemungkinan besar pihak mereka tidak dapat memenuhi semua permintaan pelanggan hari ini.

    Malah, agihan nombor giliran bagi pelanggan telah dihentikan sejak pukul 9.51 pagi lagi, dan pihak pengurusan MyTown terpaksa membuka pintu masuk awal kerana faktor-faktor keselamatan.

    Switch bagaimanapun telah memaklumkan bahawa pihak mereka tidak membenarkan mana-mana pengunjung untuk beratur pada waktu malam, dan masa beratur rasmi bermula pada jam 7 pagi hari ini (3 Feb).

    Namun, semakan di laman sosial Twitter, rata-rata netizen yang berkongsi gambar mendakwa ada pengunjung yang mula beratur diluar bangunan MyTown sejak malam tadi lagi bagi menjadi pembeli terawal.

    Gambar-gambar memaparkan pengunjung beratur dalam barisan yang panjang, bermula di hadapan kedai berkenaan sehinggalah sepanjang jalan di luar MyTown, menyebabkan kesesakan di kawasan sekitar.

    Susulan itu, Malaysian Digest menasihati orang ramai yang mahu pergi ke jualan gudang tersebut supaya sentiasa melayari laman sesawang Switch bagi melihat perkembangan terkini termasuklah senarai stok yang masih dijual.

    Setakat tengah hari tadi, beberapa barangan seperti iPhone 5s (16GB); iPhone 6s dan Plus (16GB); Iphone 7 (128GB); MacBook (12 inci [2015] 1.1GHz Dual Core Intel Core M / 256GB – Gold); Pod Touch 5th Gen (16GB); iPod Touch (32GB), sudah habis terjual.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " Gigih Beratur Dari Malam Tadi, Jualan Gudang Apple Di MyTown Dibatalkan "