• Ghouta Timur Hampir Ditawan

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 6 March 2018
    A- A+

    DAMSYIK: Tentera regim Syria dan Russia kini menguasai satu pertiga Ghouta Timur selepas berjaya mara lebih jauh ke dalam bandar raya di pinggir Damsyik itu, semalam.

    Pergerakan tentera regim dan sekutunya itu jauh lebih pantas serta berada kira-kira dua kilometer di tenggara Douma iaitu bandar utama dalam kawasan dikuasai penentang yang sebelum ini melancarkan bedilan mortar ke Damsyik.

    “Tentera regim kini menguasai 33 peratus atau satu pertiga Ghouta Timur,” kata ketua pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berpangkalan di Britain, Rami Abdel Rahman.

    Sementara itu, konvoi bantuan kecemasan untuk penduduk awam yang terperangkap mula memasuki Ghouta Timur yang dihuni 400,000 penduduk, semalam.

    Sebanyak 46 lori hasil kerjasama Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (IRCR), Bulan Sabit Merah Syria dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar bekalan makanan dan perubatan kepada ribuan rakyat Syria yang terperangkap di Ghouta Timur.

    Bagaimanapun, jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, 70 peratus daripada peralatan perubatan yang dibawa kenderaan PBB, ditahan pihak berkuasa kerajaan.

    Kebanyakan alat perubatan terdiri daripada kit pembedahan, insulin dan peralatan dialisis tidak dibenar dihantar ke Ghouta.

    Pertempuran terus berlaku di Ghouta semalam dan dalam serangan udara oleh tentera regim, sekurang-kurangnya 14 orang awam terkorban. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Ghouta Timur Hampir Ditawan "