• Gencatan Senjata Tiada Makna

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 2 March 2018
    A- A+

    NEW YORK: Kira-kira 40 trak yang penuh dengan makanan dan perubatan sedia untuk menghantar bekalan kemanusiaan ke Ghouta Timur yang dikepung tetapi pertempuran masih berterusan walaupun gencatan senjata diumumkan, kata pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

    Setiausaha umum untuk hal ehwal kemanusiaan PBB, Mark Lowcock berkata, tiada perubahan situasi di wilayah yang dikuasai penentang di pinggir Damsyik itu walaupun PBB mengeluarkan satu resolusi gencatan senjata pada Sabtu lalu.

    “Bila resolusi ini boleh dikuat kuasakan?” soalnya sambil memandang anggota Majlis Keselamatan PBB yang terdiam.

    Menurutnya, trak yang penuh dengan bantuan kemanusiaan sudah bersedia pergi ke 10 kawasan yang dikepung termasuk Douma, bandar utama di wilayah itu sejak Sabtu lalu.

    Bagaimanapun, katanya, tiada laluan untuk konvoi berkenaan masuk dengan selamat atau kebenaran daripada rejim Syria untuk ke kawasan itu dan juga tiada penduduk yang berpindah sejak resolusi Majlis Keselamatan berkenaan diluluskan.

    Lowcock yang bercakap di mesyuarat Majlis Keselamatan mengenai Syria itu memberitahu, sebaliknya, serangan udara dan artileri masih berterusan dan jumlah kematian serta kecederaan orang awam terus meningkat.

    Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia menganggarkan 600 orang awam yang majoritinya kanak-kanak terbunuh dalam serangan rejim Syria di Ghouta Timur sejak 18 Februari lalu.

    Wakil Amerika Syarikat, Kelley Currie menuduh Syria melanggar gencatan senjata berkenaan, manakala wakil Russia, Vassily Nebenzia pula menuduh kumpulan penentang sebagai puncanya.

    Sementara itu, tiada penduduk di Ghouta Timur dilihat meninggalkan wilayah berkenaan yang terus dikepung dan dibom setiap hari.

    Beberapa bas yang disediakan kerajaan Syria masih menunggu berhampiran pusat pemeriksaan di wilayah berkenaan yang mempunyai 400,000 penduduk.

    Wartawan AFP tidak melihat tiada seorangpun penduduk menuju ke pusat pemeriksaan Wafideen untuk dipindahkan dari Ghouta Timur yang ditawan kumpulan penentang sejak 2012.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Gencatan Senjata Tiada Makna "