• 'Gaduh Rebut Awek Rupanya...'

    Published: Thursday, 15 March 2018
    A- A+

    Lima pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dirakam memukul seorang pelajar lelaki lain dalam video yang tular, semalam akhirnya ditahan polis untuk siasatan, 10 pagi hari ini.

    Sumber berkata, siasatan awal polis mendapati pergaduhan itu berlaku Isnin lalu, disebabkan perebutan seorang pelajar perempuan di sekolah berkenaan.

    “Menerusi video berdurasi 19 saat itu, pelajar lelaki (mangsa) yang memakai baju sukan ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi oleh lima pelajar lain.

    “Bertindak atas penyebaran video berkenaan sejak semalam, sepasukan anggota polis mengunjungi sekolah itu untuk menahan mereka untuk siasatan, hari ini," katanya.

    Katanya, dalam kejadian berkenaan, seorang pelajar yang memukul mangsa patah tangan kiri selepas tergelincir dan terjatuh atas lantai di tingkat tiga sekolah menengah di Nilai terbabit.

    "Pelajar yang patah tangan dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban untuk rawatan dan sudah dibenarkan keluar dari wad. Mangsa pula tidak cedera serius," katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, pihaknya tidak menerima laporan kejadian daripada mana-mana pihak.

    “Pihak polis hanya mengetahui pergaduhan itu menerusi video yang tersebar melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp," katanya dihubungi hari ini.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Gaduh Rebut Awek Rupanya...' "