• Fit Malaysia Platform Terbaik Semai Gaya Hidup Sihat

    Reporter: M. H. W.
    Published: Saturday, 10 March 2018
    A- A+

    MUAR – Program Fit Malaysia yang mula diperkenalkan sejak 2014 merupakan platform terbaik bagi menyemai dan membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dan ia menunjukkan amalan gaya hidup sihat semakin mendapat perhatian rakyat di negara ini.

    “Kita bukan sahaja juara dalam Sukan SEA tahun lepas, bahkan juara juga dalam peringkat ASEAN yang mana kita penyumbang utama penyakit obesiti, sakit jantung dan kencing manis.

    “Justeru, melalui medium seumpama ini, ia sedikit sebanyak membantu kita melahirkan generasi sihat dan produktif,” katanya ketika berucap merasmikan program Fit Malaysia peringkat Johor di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga anggota Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim dan Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan.

    Pelbagai aktiviti kecergasan diadakan pada program Fit Malaysia yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan termasuk larian 5 kilometer (km) dan 10km, berbasikal 10km dan 30km serta senamrobik.

    Khairy berkata kehadiran 15,000 peserta merangkumi pelbagai usia dari kanak-kanak hingga warga emas memeriahkan Fit Malaysia kali ini juga membuktikan masyarakat semakin sedar akan pentingnya menjaga kesihatan.

    “Kita percaya Johor turut mampu menjadi kelab sukan terbaik di Malaysia suatu hari nanti dan misi kita di Muar adalah bukan setakat mahu melahirkan bandar bersih, tetapi juga bandar sihat dan bandar bersukan,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Fit Malaysia Platform Terbaik Semai Gaya Hidup Sihat "