• Facebook Terima Kecaman, Saham Menjunam

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 21 March 2018
    A- A+
    WASHINGTON – Saham Facebook menjunam kelmarin selepas gergasi media sosial itu dihujani kritikan di Amerika Syarikat (AS) dan di luar negara susulan pendedahan bahawa sebuah firma yang bekerja untuk kempen pilihan raya Presiden Donald Trump mengumpul dan menyalahgunakan data 50 juta pengguna Facebook.

    Desakan agar siasatan dijalankan dibuat oleh kedua-dua AS dan Eropah setelah Facebook memberikan maklum balas berkaitan laporan penyelewengan datanya dan bertindak menggantung akaun Cambridge Analytica, firma Britain yang diupah oleh kempen Trump pada tahun 2016.

    Senator daripada Parti Demokrat, Amy Klobuchar dan Parti Republikan, John Kennedy meminta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook, Mar Zuckerberg tampil memberi ke­terangan di hadapan Kongres bersama CEO Google serta Twitter.

    Kedua-dua wakil rakyat itu berkata, firma-firma berkenaan mengumpulkan sejumlah besar data peribadi, manakala kurangnya pengawasan meningkatkan kebimbangan mengenai integriti pilihan raya AS dan hak privasi orang awam.

    Dalam perkembangan berkaitan, ketua keselamatan Facebook, Alex Stamos berkata, peranannya kini berubah kepada memberi tumpuan pada risiko baharu dan keselamatan pilihan raya di laman sosial itu berikutan pendedahan skandal tersebut.

    “Di sebalik desas-desus, saya masih berkhidmat di Facebook. Peranan saya juga berubah. Saya kini menumpukan untuk mengawasi risiko keselamatan yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan di Twitter.

    Sementara itu, pegawai dan pe­mimpin Eropah turut menyuarakan kemarahan berhubung isu itu.

    Menurut siasatan bersama oleh akhbar The New York Times dan Observer di Britain, Cambridge Analytica berupaya mewujudkan profil psikologi 50 juta pengguna Facebook menerusi penggunaan aplikasi ramalan personaliti yang dimuat turun oleh 270,000 pengguna di samping mengambil data rakan-rakan Facebook mereka.

    Cambridge Analytica bagai­manapun menafikan pi­haknya menyalahgunakan data Facebook untuk kempen Trump. – AFP/Kosmo

    Subjects:

  • No Comment to " Facebook Terima Kecaman, Saham Menjunam "