• ESSCOM Tahan 30 PATI Di Lahad Datu

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 7 March 2018
    A- A+

    LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi bersepadu di kawasan rumah kongsi pekerja kilang di Batu 4, Jalan Segama di sini, malam tadi.

    Komander ESSCom DCP Datuk Hazani Ghazali berkata daripada jumlah itu, 26 warga Filipina serta empat warga Indonesia berumur lingkungan tiga hingga 52 tahun ditahan dalam operasi bermula 11.30 malam dan berakhir 2 pagi tadi.

    "Seramai 44 pekerja telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut 30 individu ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah atau meragukan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Hazani berkata kesemua tahanan telah dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 sebelum dihantar pulang ke negara asal.

    Sementara itu, seiring dengan moto ESSCom 'Tiada Hari Tanpa Operasi', Hazani berkata pihaknya akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di perairan negara khususnya di kawasan sempadan dengan perairan Filipina.

    "Antaranya mengadakan operasi-operasi khas secara berterusan seperti Operasi Gasak laut (OGL) dan Operasi Bersepadu (OB) bagi mengekang kemasukan penjenayah rentas sempadan (KFR) termasuk penyeludupan daripada menyusup masuk ke daerah ini," katanya lagi.

    Hazani berkata usaha mempertingkatkan tahap keselamatan di pantai timur Sabah itu sekali gus memberi keyakinan kepada semua pihak termasuk pelancong asing yang berkunjung ke negeri ini bahawa keadaan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) adalah terkawal.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " ESSCOM Tahan 30 PATI Di Lahad Datu "