• ESSCOM laksana pemeriksaan darat, laut

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 2 March 2018
    A- A+


    SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan mula melaksanakan pusat pemeriksaan di daratan atau Road Check Point (RCP) dan di lautan atau Sea Check Point (SCP) antara Mac dan April ini.

    Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata pihaknya kini dalam proses menyelesaikan beberapa isu teknikal sebelum boleh melaksanakan RCP.

    Katanya, sebagai permulaan, RCP yang bertujuan menghalang kemasukan elemen yang mengancam keselamatan di pantai timur Sabah akan ditumpukan di dua kawasan iaitu Telupid dan Kalabakan.

    "Buat masa ini, kita akan tumpukan dua kawasan terbabit kerana ia laluan utama yang menjadi penghubung ke kawasan timur Sabah.

    "RCP mungkin dilaksanakan dalam satu atau dua bulan lagi, begitu juga SCP," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengumumkan ESSCOM akan melaksanakan RCP dan SCP iaitu antara usaha kerajaan negeri bagi meningkatkan keselamatan di kawasan perairan dan daratan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

    Fokus utama SCP adalah menyekat kemasukan senjata api dan lain-lain elemen jenayah rentas sempadan dengan memeriksa kemasukan setiap kapal ke negeri ini, manakala RCP bagi menghalang kemasukan elemen yang mampu mengancam penduduk, termasuk menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terbabit dengan elemen militan.

    Mengulas lanjut, Hazani berkata, ESSCOM kini menunggu kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mewujudkan pangkalan hadapan di Pulau Ligitan, di Tawau yang berupaya mempertingkat tahap keselamatan di kawasan terbabit yang terletak berhampiran sempadan perairan antarabangsa.

    "Ia akan diwujudkan tahun ini juga dan sekarang cuma menunggu kelulusan MKN," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " ESSCOM laksana pemeriksaan darat, laut "