• Era Suram Industri Sarang Burung Walet Bakal Berakhir

    Reporter: M. H. W.
    Published: Sunday, 25 March 2018
    A- A+

    KUALA TERENGGANU -Industri sarang burung walet di negara ini dijangka kembali pulih apabila usahawan tempatan akan berpeluang mengeksport terus ke China.

    Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek membayangkan dengan perkembangan itu kelak, era suram industri itu bakal berakhir setelah harga pasarannya akan kembali melonjak.

    Katanya, pada akhir November 2016 beliau sendiri telah ke China untuk berundingan, dan kerajaan telah menandatangani protokol untuk membolehkan pengusaha mengeksport sendiri, tidak lagi melalui negara lain selaku orang tengah untuk mengelak daripada terus berlakunya kecurangan pasaran.

    "Saya percaya masalah ini akan berakhir tidak lama lagi, jika semuanya berjalan lancar, semua pengusaha berlesen di negara ini tidak lagi tertekan di sebalik isu permainan kotor pihak ketiga.

    "Kita juga tidak pernah berhenti mengadakan rundingan dengan China, malah pelbagai syarat dan protokol yang ditetapkan telah kita patuhi," katanya.

    Beliau berkata, melalui protokol ini membolehkan pihak China memberi kuasa kepada kerajaan Malaysia di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar membuat pemeriksaan dan rundingan secara terus dengan pengusaha agar memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya.

    Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan lebih 200 pengusaha sarang burung walet daripada seluruh negara, di sini petang semalam.

    Terdapat lebih 10,000 pengusaha burung walet melibatkan hampir 20,000 rumah (sarang) di negara ini.

    "Malaysia mengeksport sebanyak 400 tan metrik ke China, sebahagian besar terpaksa melalui negara ketiga kerana tidak mempunyai sarang burung yang siap diproses," ujarnya.

    Menurutnya, suatu ketika sarang burung walet mentah di negara ini berkembang amat pesat apabila harganya mencecah antara RM7,000 hingga RM8,000 sekilogram.

    Bagaimanapun katanya, sejak 2011 harganya mula jatuh sehingga RM800 sekilogram gara-gara berlakunya penyelewengan dalam pasaran berpunca daripada permainan 'orang tengah iaitu negara pengeksport lain.

    "Sejak kebelakangan ini prestasi semakin baik, sekarang pun kita lihat tekanan harga yang pernah jatuh RM800 sekilogram mula meningkat abtara RM4,000 hingga RM5,000 sekilogram,"ujar beliau.- UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Era Suram Industri Sarang Burung Walet Bakal Berakhir "