• Enam Pelajar Tahfiz Diliwat Penderma

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 14 March 2018
    A- A+
    Gambar Hiasan
    KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki berumur 41 tahun yang didakwa meliwat enam pelajar sebuah pusat tahfiz di sini, sejak awal Disember tahun lepas.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, suspek merupakan sukarelawan di situ dan aktif memberi sumbangan barangan keperluan harian dan pakaian di pusat itu sejak 2015.

    Katanya, mangsa berusia dalam lingkungan 14 hingga 17 tahun dan perbuatan terkutuk suspek terbongkar pada Isnin lepas menyebabkan tenaga pengajar di pusat berkenaan membuat laporan polis.

    "Laporan mendakwa mangsa mula diliwat pada awal Disember lepas di sekitar kawasan asrama dan kediaman suspek di sebuah taman perumahan di sini.

    "Siasatan mendapati suspek yang bekerja sendiri melakukan kesalahan itu sebanyak antara satu hingga lima kali terhadap setiap mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

    Kama Azural menambah suspek ditangkap pada hari sama laporan dibuat dan telah direman bermula semalam sehingga 19 Mac.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Enam Pelajar Tahfiz Diliwat Penderma "