• Empat Suspek Kes Curi Set Kanopi Ditahan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 9 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Empat lelaki dipercayai terbabit kes curi set kanopi, meja serta kerusi di Bukit Puchong, Puchong, 24 Februari lalu, ditahan polis dalam empat serbuan berbeza di sekitar Selangor, kelmarin dan semalam.

    Difahamkan, kejadian berlaku apabila seorang lelaki memasang tiga unit kanopi yang ditempah pelanggan di lokasi terbabit, kira-kira jam 9 malam 23 Februari lalu.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azlin Sadari, berkata namun apabila ke lokasi itu pada kira-kira jam 7.30 pagi 25 Februari lalu, pemilik mendapati tiga unit kanopi bersama meja dan kerusi lesap dipercayai dicuri.

    "Bertindak atas laporan mangsa, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya menahan seorang suspek lelaki berusia 32 tahun di Kampung Baru Subang, jam 11.30 malam kelmarin.

    "Pihak kami merampas satu telefon bimbit dan hasil soal siasat terhadap suspek yang memiliki tiga rekod jenayah itu, dia mengaku terbabit dalam kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi, pagi tadi.

    Mohd Azlin berkata, pihaknya kemudian menahan suspek kedua berusia 22 tahun yang disyaki membeli semua kanopi itu pada harga RM3,000 di Dengkil, jam 4.30 pagi semalam.

    "Pihak kami juga merampas tiga kanvas, 25 besi diguna untuk mendirikan khemah, 12 besi penyambung, 12 tiang tapak boleh laras, tiga set penutup besi bucu, tiga kipas siling dan tiga gelung wayar lampu," katanya.

    Beliau berkata, hasil serbuan ketiga di Sungai Jarom, Banting, jam 10.30 malam tadi, polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun dipercayai menjadi orang tengah untuk proses jual beli barang curi.

    "Serbuan keempat di Banting kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi berjaya menahan suspek keempat berusia 35 tahun yang disyaki membeli kerusi dan meja terbabit.

    "Kami merampas 250 kerusi plastik berwarna putih, 20 meja kayu segi empat dan 20 kaki meja besi boleh lipat," katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Empat Suspek Kes Curi Set Kanopi Ditahan "