• Elaun SL1M RM2,000 Berkuat Kuasa Hari Ini

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Thursday, 1 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Elaun Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM2,000 berkuat kuasa hari ini.

    Ketua Sekretariat SL1M Norashikin Ismail berkata kenaikan ini ialah untuk meringankan beban pelatih di ibu kota.

    “Kos sara hidup di ibu kota sangat tinggi dan dengan kenaikan ini, ia dapat meningkatkan semangat mereka untuk melaksanakan tugasan dengan lebih baik,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan kenaikan elaun tersebut semasa ucapan beliau pada Program Temuduga Terbuka SL1M di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

    Sehingga kini, 400 syarikat telah berkolaborasi bersama SL1M dan setakat Disember 2017, seramai 144,400 graduan telah dibantu melalui penglibatan secara langsung dan tidak langsung.

    Selain itu, SL1M juga akan mengadakan program temu duga terbuka peringkat negeri Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu pada 17 hingga 18 Mac ini dan menyasarkan 10,000 pekerjaan untuk ditawarkan kepada graduan tempatan.

    Antara syarikat yang akan mengambil bahagian pada program tersebut ialah Maybank, Celcom Axiata Berhad, Petronas, UEM Group, Malaysia Airlines dan Lebuhraya Pan-Borneo.

    “Kami menyeru syarikat-syarikat tempatan Sabah untuk datang ke SL1M bagi menawarkan pekerjaan kepada graduan-graduan tempatan,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Elaun SL1M RM2,000 Berkuat Kuasa Hari Ini "