• Eksport Produk Getah Cecah Rekod RM21.7 Bilion

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 1 March 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Eksport produk getah Malaysia meningkat sebanyak 19.2 peratus dan mencecah paras tertinggi baharu, RM21.7 bilion pada tahun lalu berbanding RM18.2 bilion pada 2016, disokong oleh permintaan lebih kukuh daripada kalangan ekonomi maju dan sedang membangun.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) berkata pertumbuhan kukuh itu dapat dicapai walaupun dalam keadaan ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan perolehan lebih rendah dari segi ringgit.

    Selain itu, import produk getah meningkat sebanyak 15.5 peratus bagi tahun ke tahun kepada RM7.6 bilion berbanding RM6.6 bilion sebelum ini yang membawa kepada lebihan dagangan sebanyak RM14 bilion bagi tahun kajian itu.

    "Bahagian industri getah ini kekal pada 2.3 peratus dari segi sumbangan kepada keseluruhan eksport yang berjumlah RM935.4 bilion pada 2017.

    "Produk lateks juga terus menguasai industri dengan menyumbang 81 peratus daripada jumlah eksport produk getah.

    "Eksport produk lateks turut meningkat sebanyak 19.2 peratus bagi tahun ke tahun kepada RM17.5 bilion berbanding RM14.6 bilion," katanya.

    Menurut MREPC, sarung tangan getah kekal sebagai penjana perolehan terbesar eksport bagi industri produk getah Malaysia iaitu merangkumi 73 peratus daripada jumlah eksport pada 2017, diikuti oleh tayar (6.0 peratus), hos (4.0 peratus), benang lateks (3.0 peratus) dan kondom (2.0 peratus).

    Lima destinasi utama eksport adalah AS, (29 peratus), Kesatuan Eropah (24 peratus), Jepun (6.0 peratus), China (5.0 peratus) dan Brazil (3.0 peratus).

    Mengulas prospek masa depan, Ketua Pegawai Eksekutif MREPC, Low Yoke Kiew berkata eksport produk getah Malaysia pada 2018 kekal positif dengan pertumbuhan dijangka dipacu oleh ekonomi membangun di Asia, Afrika dan Asia Barat serta peningkatan pendapatan, penjagaan kesihatan dan perbelanjaan dalam segmen kebersihan.

    "Permintaan eksport daripada pasaran maju dijangka berkembang sejajar dengan prospek ekonomi yang lebih baik.

    "Walaupun kesan asas tinggi pada tahun 2017, eksport produk getah dijangka terus meningkat sekurang-kurangnya 5.0 peratus," katanya. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Eksport Produk Getah Cecah Rekod RM21.7 Bilion "